Pada 12 Mei 2011, iaitu pada hari khamis, sekali lagi usrah SISMA telah diadakan yang bertempat di SKTM, UMS. Usrah pada kali ini membincangkan tentang tafsir surah Al-Baqarah Ayat 37-39 yang mengupas tentang kisah taubat Nabi Adam a.s.
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
(Al-Baqarah : 37)Melalui ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Penerima Taubat. Walaupun Nabi Adam a.s telah melakukan kesalahan kerana terpedaya dengan tipu helah iblis lalu melanggar larangan Allah S.W.T dengan memakan buah dari pohon larangan yang terdapat di syurga, namun Allah S.W.T akhirnya telah menerima taubat serta mengampunkan perbuatan Nabi Adam a.s dan Hawa.
Persoalan utama yang telah dibincangkan sepanjang sesi usrah ialah tetang kisah pohon larangan dan kepentingan taubat dalam kehidupan manusia.
Mengapa wujud pohon larangan di syurga ketika Nabi Adam a.s berada di syurga? Kepentingan taubat dalam kehidupan..
Kisah Nabi Adam a.s. dan Hawa serta pohon larangan telah memberikan satu pengajaran yang cukup berkesan sekali kepada umat manusia pada hari ini. Pohon larangan yang telah berjaya menyebabkan Nabi Adam a.s dan Hawa dikeluarkan dari syurga dan akhirnya diturunkan ke dunia merupakan simbolik bahawa setiap perbuatan pasti akan ada akibatnya.Pohon larangan tersebut telah menjadi satu simbol godaan yang sinonim dengan kehidupan manusia pada hari ini yang dipenuhi dengan pelbagai godaan duniawi. Justeru, hanya orang-orang yang bersungguh-sungguh berjihad di jalan Allah S.W.T akan bertahan dengan segala godaan-godaan ini.
Manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan, dan sudah lumrah manusia akan sering terlalai dan terleka. Kehidupan di dunia adalah ujian dan ujian ini bukanlah mudah kerana ia adalah satu perjuangan iaitu perjuangan untuk terus mempertahankan kebenaran Islam yang sebenar.Namun, bukan semudah itu kerana sejak dari azali lagi, Iblis serta pengikut-pengikutnya telah mengisytiharkan perang dengan umat manusia dan akan berusaha dengan cara apa sekalipun untuk memperdaya manusia.Oleh kerana itu, Allah S.W.T telah memberikan akal dan pengetahuan kepada manusia agar mereka mampu berfikir bagaimana cara untuk memenangi pertempuran ini.
Kisah pohoh larangan juga memberi pengajaran kepada umat manusia bahawa manusia pasti akan membuat kesalahan, kemudian akan merasa menyesal dan seterusnya belajar untuk bertaubat. Ujian di dunia itu pasti ada, dan oleh kerana itu setiap manusia yang telah dipilih untuk menjadi khalifah di muka bumi ini harus mempersiapkan diri untuk menghadapi semua ujian-ujian itu. Selain itu, manusia juga diperintah untuk segera bertaubat setelah melakukan kesalahan sama ada kecil ataupun besar. Taubat adalah suatu syariat yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah-lengah. Taubat adalah jalan untuk menuju segala macam kebaikan sama ada kebaikan dunia ataupun kebaikan akhirat. Justeru itu, adalah penting bagi setiapa orang itu melaksanakan agenda taubat setiap hari tanpa tertangguh-tangguh.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh urusan dan kerja. Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya. (Hadis riwayat Ibnu Majah)Syarat-syarat sah taubat :
1.Meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera.
2.Menyesali perbuatan itu.
3.Berazam tidak akan mengulanginya perbuatan itu lagi.
4.Meminta maaf jika melakukan kesalahan dengan orang lain.
Cara untuk menangkis pujukan syaitan :
- Menjaga hati supaya tidak lalai dan hanyut oleh bisikan syaitan. Hati perlu sentiasa dipandu dengan mengingati Allah.
- Sentiasa memohon perlindungan kepada Allah S.W.T supaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya.
Penutup
Walau sesukar mana sekalipun kehidupan di dunia ini, dan walau sehebat mana godaan yang harus kita hadapi, kita tidak sewajarnya berputus asa dengan kehidupan ini.Sebaliknya, kita seharusnya bersyukur kerana sehingga ke hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk terus menikmti kehidupan di dunia ini dan yang penting masih diberi waktu untuk terus bertaubat kepadaNya. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Justeru, adalah wajib bagi setiap orang melazimkan diri untuk bertaubat agar memperoleh kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.
Orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju jalan kebaikan, kemudian memanjatkan doa kepada Allah S.W.T dengan rasa rendah diri dan takut sesungguhnya Allah akan membimbingnya ke jalan petunjuk dan memeliharanya daripada kejahatan nafsu dan syaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan