Jumaat, 22 Jun 2012

Ucapan Dasar Muktamar Sanawi SISMA SABAH Kali ke-2





UCAPAN DASAR PENGERUSI SISWAZAH MUDA ABIM SABAH SEMPENA MUKTAMAR SANAWI
KALI KE-2 (2012/2013)

TEMA : PEMUDA DAN KEPEMUDAAN-TONGGAK PEMERKASAAN AL-MUFLIHUN

OLEH : MOHD KAMALUYASIR BIN MANSOR

PENGERUSI SISMA SABAH SESI 2011/2012

21 JUN 2012 / 1 SYAABAN 1433 HIJRAH




Bissmillahirrahmanirrahim

Yang Dihormati Saudara Pengerusi

Yang Berusaha Timbalan Yang Dipertua Abim Negeri Sabah, Saudara Mohd Zikri Bin Haji Zainuddin

Yang Saya Kasihi Barisan Kepimpinan SISMA Sesi 2012/2013

Ahli-Ahli Seangkatan Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA)

Para Tetamu Undangan

Para Muktamirin Dan Muktamirat Sekalian



Kami dahului ucapan ini dengan kalimat suci tahmid al-hamdu li’illah kerana dengan pernyatan rasa syukur yang paling tulus atas izin dan perkenan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa untuk kita melangsungkan Muktamar Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) untuk kali kedua. Dengan semangat ukhuwwah yang hangat, dengan rasa muhibbah yang mendasar kami sambut kedatangan muktamirin-muktamirat-para undangan, perwakilan, sahabat dan kerabat SISMA dari seluruh negeri Sabah tercinta. Semoga penyertaan anda akan menjadikan Muktamar ini berkesan dan bermakna. Ahlan Wa Sahlan- Selamat datang dan selamat bersidang.

FAHAM AGAMA, KEADILAN DAN ILMU

Agama itu berasas pada Tanzil daripada tuhan kepada insan yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu yang diturunkan oleh-Nya kepada nabi atau rasul-Nya (Muhammad) bagi anutan setiap manusia (Al-Attas, 1931). Daripada pengakuan ini, maka kita ikrarkan bahawa agama Islam itu bukan teori, bukan hasil renungan para bijaksanan dan failasuf, bukan hasil renungan insan, bukan hasil ciptaan insan sebagaimana kebudayaan itu hasil usaha dan daya cipta dalam menghadapi keadaan sekeliling.


Agama bukanlah Cuma pandangan peribadi

Yang dipintal di jari, sesuka hati

Agama bukan perangkap kelahiran, tanpa pilihan

Yang dipaksa pada diri, belenggu nan melemaskan

(Wan Muhammad Nor, Pelbagai Cahaya)

Dalam tradisi Islam perkataan tarbiyah, ta’alim dan ta’adib yang bererti pendidikan, pembelajaran dan pembentukan budi pekerti, telah digunakan sejak awal lagi. Sebenarnya penggunaan ketiga-tiga istilah bahasa Arab tersebut sekali gus menggambarkan bahawa pendidikan Islam merangkumi ketiga-tiga dimensi penting dalam kehidupan manusia iaitu pembentukan jasmani, pembentukan intelektual dan pembentukan rohani. Hai ini ditentukan oleh pandangan hidup Islam atau Islamic World-View. Namun demikian, dasar-dasar umum tersebut perlu dikembang dan dianalisis untuk menjadikannya suatu sistem yang konkrit dan nyata. Usaha pengembangan dan penganalisian itu sesungguhnya memerlukan kemampuan intelek yang tinggi di mana ia adalah ciri penting kepemudaan yang perlu ada pada kader SISMA. Kepentingan kefahaman terhadap agama itu menjadi kunci keberdayaan penggerak SISMA dalam mendepani hari-hari sebagai seorang daie. Hal ini berkait terus antara hubungan kita dengan Rabbul Jalil, hubungan sesama manusia dan hubungan antara alam.

Tanpa ilmu pengetahuan manusia tidak dapat membangunkan tamadun, ilmu adalah rukun utama membangunkan tamadun insaniah yang sihat. Jatuh bangunnya sesuatu tamadun banyak berpunca darpada faktor ilmu yang terdapat dalam tamadun tersebut. SISMA yang menekankan budaya ilmu haruslah menjadi pemangkin dan pendorong terhadap usaha dan idealisme perjuangan hakiki demi menegakkan agama Allah di bumi Sabah ini. Rata-rata masyarakat pendalaman yang kehausan asas-asas ilmu agama mengharapkan kita bagi mengisi sedikit kekosongan di dadanya. Biar ramai antara kita yang bukan berlatar belakangkan pendidikan khususnya agama, ahli SISMA sepatutnya menjadi daie multi-knowledge  iaitu pendakwah yang menguasai segenap aspek bidang tertentu. Dalam menerangkan asal usul tamadun manusia, kitab suci al-Quran menerangkan bahawa sebelum manusia pertama, iaitu nabi Adam a.s, memulakan kehidupan di muka bumi bersama-sama isteri, terlebih dahulu telah diajarkan “nama-nama segala benda”. Firman Allah :

Dan Dia ajarkan kepada anak Adam nama-nama (benda-benda) semuanya, kemudian dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman, “sebutlah kepada-Ku nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar!” Al-Baqarah (2:31)

Sejarah ini membuktikan peranan seorang daie yang dan disebarkan semasa turun di lapangan dakwah yang sebenar. Islam  menitikberatkan konsep ilmu yang berakar umbi. Ilmu yang beraraskan wajyu ini diumpamakan di dalam al-Quran sebagai cahaya (Nur) yang bukan sahaja menyinari hati sanubari pemiliknya bahkan seluruh alam. Sabda Ar-Rasul :

Seluruh isi langit dan bumi memohonkan ampun bagi orang yang berilmu. “ Menurut sebuah hadis lagi. “Sesungguhnya malaikat melindungkan sayapnya bagi orang yang mencari ilmu kerana senang hati melihat kerjanya. “ (Riwayat Ahmad Ibn Hanbal)

Menurut Al-Attas, ilmu sains dan teknologi itu umpaman pisau iaitu alat yang berguna untuk manusia terutama pengendalian kerja-kerja dapur, membantu untuk memotong dan mengukir. Andai kata pencuri datang ke rumah, pisau itu juga lah yang digunakan untuk membunuh tuan punya pisau.  ‘senjata makan tuan’. Ini menggambarkan betapa ilmu itu penting dimiliki oleh orang yang baik lebih-lebih lagi yang punyai citra agama supaya ilmu dapat digunakan pada landasan kebenaran.

Tidak kurang ilmu agama yang sememangnya menjadi dasar hidup seorang daie. Pada pandangan Islam manusia yang baik ini ialah manusia yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak. Manusia yang dalam serba serbi tingkah lakunya sentiasa mengaush dirinya kearah kesempurnaan sebagai insan abadi.

Faham agama dalam Islam itu punyai pertalian yang erat dengan faham keadilan. Dalam persepsi barat, keadilan adalah suatu perkara yang berlangsung antara dua pihak yang merujuk kepada nagara dan masyarakat, iaitu antara seorang dengan orang lain, antara rakyat dengan raja, antara rakyat dengan pemimpin. Oleh itu bagi mereka kezaliman adalah sesuatu yang berkisar antara dua pihak itu juga. Aristotle pernah menyatakan bahawa keadilan tidak boleh berlaku pada diri sendiri kerana itu dikira sebagai kezaliman terhadap negara keran telah menidakkan bagi negaranya tugas dan khidmat serta tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Pandangan ini berbeza sekali dengan pandangan Islam yang menekankan keadilan pada diri sendiri dan kezaliman juga boleh berlaku pada diri sendiri, firman Allah :

Mereka berkata. “ Wahai tuhan kami! – kami telah menzalimi diri kami, dan jika tiada Kau ampuni kami, dan cucuri Rahmat-Mu kepada kami, justeru sesungguhnya kami ini akan tergolong dalam yang rugi”   Al-A’raf (7:23)

SISMA dibawah ABIM yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan seharusnya faham konsep serta mampu membezakan sesuatu perkara yang cenderung kepada kebenaran ataupun kebatilan berdasarkan rujukan sumber dan nas-nas yang sahih. Kezaliman yang kian menular dalam kalangan pemimpin atasan mahupun bawahan tidak dapat dikesan oleh masyarakat kerana dikaburi oleh kesenangan sementara serta janji-janji kosong bagi menjaga kepentingan peribadi. Korupsi, kroni dan rasuah seperti sudah menjadi makanan harian mereka. Ada juga sebahagian ahli gerakan yang ikut ‘terkabur’ dengan keselesaan yang sementara, tidak terkecuali mereka yang terlampau taksub dengan idealogi dan fahaman yang bibawa oleh sesuatu pasti meskipun ia dilihat cenderung ke arah kebenaran. Konsep kesederhanaan dalam Islam sepatutnya menjadi peribadi dalam setiap tindakan dan perbuatan, bukannya berani-berani nyamuk yang  jelas bodoh dan tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu tindakan. Harakah yang dilihat sebagai kuasa perubahan ketiga kini kian panas menjadi tumpuan mereka yang tidak mahu ditumbangkan. Sedikit kesilapan yang kita lakukan akan menjadi fitnah yang besar kepada jamaah malah Islam seluruhnya. Perkiraan, serta analisi yang perinci haruslah menjadi sandaran sebelum melakukan sesuatu tindakan oleh ahli SISMA kerana ia bukan sahaja melibatkan peribadi semata-mata, malah Islam turut tercela.

PRINSIP DAN ADAB DALAM GERAKAN

                Kefahaman, aplikasi dan penghayatan terhadap 5 prinsip utama gerakan amat penting untuk setiap kader SISMA, 5 prinsip itu adalah gerakan berteraskan kerohanian, kejelasan fikrah-prinsip wasatiyyah, amar makruf nahi mungkar, aktivisme, intelektualisme dan kebajikan kepada umum. Dalam gerakan juga diperkenalkan madrasah tarbiyah yang wajib hararkiy terhadap semua kader dakwah seperti tamrin dan usrah.

                Dalam perjuangan Islam yang penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu sendiri yang mesti diterima pakai serat diperjuangkan oleh penganutnya seperti yang dicontohkan oleh Baginda Ar-Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang kita anuti ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara kita yang terdahulu pergi meninggalkan kita. insyaAllah, usaha-usaha bagi memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan iiqh al-hadharah sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ahli SISMA. Peranan fiqh al-hadharah pula dapat mengatasi kejahialn ummat dan sikap fanatik kepada sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran islam itu sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah, masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam dituruankan kepada ummat manusia, ‘ Rahmatan Lil ‘ alamin’.

                Usrah yang menjadi tunjang tarbiyah SISMA mempunyai tujuan dan peranan yang besar terhadap ahli-ahli gerakan. Usrah berasal dari perkataan Arab yang bererti keluarha. Dalam kontek harakah ia bererti keluarga yang wujud oleh pertalian akidah, idealisme perjuangan, kesedaran tentang persamaan nasib serta keazaman untuk mengorak langkah yang selaras menumpaskan halangan-halangan dari dalam dan luar diri untuk meningkatkan jiwa insan lealam tinggi dan mendekati kesempurnaan. Usrah bukanlah semata-mata suatu pertemuan yang diadakan sebagai medan perbincangan ilmu atau peringatan. Firman Allah SWT :

“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan janganlah melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (menganggu) binatang-binatang had-Nya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan pula menganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji maka bolehnlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian (mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalangi-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorong mu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam membuat berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaanya. “ Al-Ma’idah (5:2)

Usrah adalah medan yang hidup untuk ahli-ahli SISMA bekerjasama untuk melaksanakan dan menghayati Islam. Ia mengikat diantara satu sama lain dengan ukhuwwah dam saling tolong-menolong dan boleh dipimpin melalui usrah ini. Melalui 3 rukun usrah iaitu ta’aruf, tafahum dan tajaful, sepatutnya ia menjadi panduan dalam menjaga ukhuwwah fillah antara ahli dan bukan hanya omongan kosong tanpa hasil. Rasa rendah hati, berjiwa besar serta meraikan kelainan dan telatah sahabat adalah sifat yang perlu ada pada setiap ahli bagi menjaga hubungan demi Allah. Sifat pentingkan diri sendiri mesti dikikis sebelum ia terus merenggangkan jurang antara ahli SISMA. Saudara-saudari mestilah berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak ada apa-apa yang boleh mengeruhkan perhubungan ukhuwwah itu. Firman Allah :

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. “ Al-Hujurat (49:10)

Semangat bertindak secara berjamaah juga menjadi tuntutan. Tanpa tindakan secara jama’i, gerakan Islam menjadi huru-hara dan tidak dapat menjalankan peranannya dengan baik. Amal jama’i hendaklah diamalkan disetiap peringkat tugasan bertepatan dengan budaya kepimpinan ABIM A to Z Leadership. Perancangan kerja boleh dibuat kalangan ahli dalam pertemuan-pertemuan usrah dan musyawarah. Allah SWT berfirman :

“ Sesungguhnya Allah menyukai orang0orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. “ Ash-Shaff (61:4)

                Islam yang melambangkan keindahan adab, budi pekerti dan akhlak islami mestilah menjadi amalan penganutnya terutama ahli harakah yang sering menjadi tumpuan dan rujukan tidak kurang menjadi bahan fitnah oleh musuh Islam. Ikhtilat dalam pergerakan Islam adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap orang yang terlibat secara langsung dalam pergerakan Islam tidak kira siapa dan apa pun jawatan dia. Perkataan ikhtilat itu pada adatnya bermaksud pergaulan. Di dalam konteks Islam, ikhtilat boleh diertikan sebagai suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan wanita ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam dan sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari termasuklah mereka yang berkecimpung dalam pergerakan Islam sendiri. SISMA juga didedahkan bahawa rukun yang perlu diketahui dalam harakah adalah taaruf. Akan tetapi, apa yang membimbangkan adalah perhubungan yang dimulakan atas dasar taaruf tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi dan bukan perkongsian ilmu serta kepakaran, maka tenggelamlah konsep “ kerja  tetap kerja, peribadi adalah peribadi ”. ada juga, kononya beralasan hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Apa yang lebih menakutkan adalah perhubungan tersebut menjadi barah “ cinta “ walaupun pada zahirnya seakan-akan kita melihat mereka saling mengambil berat. Perkara ini, seolah-olah mencari keredhaan Allah, sedangkan mereka sudah terjerumus dalam kemurkaan Allah. Kerana itulah kita perlu memahami konsep sebenar dalam bekerja kerana Allah dan batas pergaulan dalam bekerja seperti menjaga pandangan, mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sentiasa menunjukkan hati. Firman Allah :

“ Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman. Hendaklah mereka menahan pandangannya & memelihara kemaluannya yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat, Katakanlah kepada wanita yang beriman. Hendaklah mereka menahan pandangannya & kemaluannya. “ An-Nuur (24:30-31)

                Sabda Ar-Rasul

“ Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat & menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga & tidak akan mencium baunya “ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kitam bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya yang taat; kita manusia biasa yang dikurniakan nafsu dan cinta. Allah menciptakan rasa cinta dan nafsu bersama-sama dengan batas pergaulan buat hamba-hamba Nya kerana Dia tahu apa kelemahan dan kekuatan yang terletak tiap pada ciptaan-Nya. Sabda Rasullullah s.a.w :

“ Barangsiapa meninggalkan yang haram maka ia akan memperolehinya ketika ia sudah menjadi halal. “



MEHNAH PEMUDA



Seekor anak Helang

Meminta izin bapaknya mahu terbang

Ke lain padang

Melatih sayap mengembang

Mencari pengalaman

Menajam pandangan.

Tapi pada bapaknya menyata bimbang

Akan cabaran sengit bakal mendatang

Tentang kemungkinan hilang

Jalan pulang

Mengkhianati bangsa, menjadi petualang.



Bapaknya helang memberi pesan seorang guru:

“Silalah anakku sifatmu helang harus mendalami ilmu

Tapi ingatlah segala ajaranku kepadamu selalu

Kerangka dan dasar pengetahuan dalam dadamu itu

Sungguhlah benar, jangan kau curiga dan ragu

Perhalusi lagi, dan bandingkan dengan yang lain itu”.



“Harus sentiasa sedar harga diri dan peranan sejati

Tiada guna jika gagak berjuta, musuh bangsa, memuji tinggi

Walau bangsamu jumlahnya kecil, peranannya tersangat suci

Itu amanah kita dari azali, pilihan maknawi.”



Anak helang terbang jauh melihat alam pelbagai ragam

Singgah di suatu padang melihat gagak galak berkawan

Ramainya bukan kepalang, hitamnya menawan

Langit nan terang di waktu siang dipergelapkan

Bisingnya menguasai padang dan segala hutan

Sampah dan bangkai mencerminkan kelazatan.



Si anak helang menumpang gagak mengisi dada

Raja gagak melihat kemungkinan besar tiada tara

Jika berjaya menggagakkan helang mencari kuasa

Menumpas helang sebagai burung perkasa di muka dunia.



Selagi helang mengenal dirinya selagi itulah gagak semua

Gagal merebut takhta kerajaan burung segala.

“Jika si anak helang itu dapat digagakkan kita

Dia akan dipulangkan pada bangsanya

Dan berperanglah untuk kita.

Jika helang tidak lagi terbang tinggi di puncak sana

Jika matanya ditumpulkan seperti kita

Jika makanannya dibiasakan sampah, bangkai dan sisa

Dia akan menafikan bapak sendiri, tidak mengenali bangsa

Akan meruntuhkan sarang bangsanya; tak terdaya kita.”



Memang setelah bertahun berguru pada gagak semua

Bulunya dihitam-kilatkan menyilau mata, untuk diterima

Lagunya semeriah, sebising, senyaring burung pensisa.

“Menangkap rezeki penuh risiko di dada angkasa,

Merugi masa, dan tenaga”, katanya.

“Lebih mudah mencuri sisa di tong sampah saja”.

Sekian lama berguru, ia dinobat wira nan perkasa

Diutus pulang ke padang asalnya memikul cita

Merubah helang mengikut millah gagak belaka.



Pulanglah helang bertemu ayahnya guru awali

Ayahnya melihat terbangnya tidak menghelang lagi

Suaranya bukan lagi menyanyi lagu asli

Tapi lagu baru yang tidak pernah didengari

Sepanjang sejarah helang tidak didendangi.



Sepanjang zaman bangsaku melihat tajam perubahan

Insan kehilangan diri setelah lama berjauhan

Kejauhan zahir terlihat pada jarak zaman dan ruang

Kejauhan batin terbukti pada akhlak ang pincang

Terpapar dalam Kisah si Tenggang dan Malim Kundang

Dalam perubahan jiwa jutaan cendekiawan malang.



Anak helang kehilangan diri, disanjung gagak di luar negeri:

Pulang ke sarang asli berbulu hitam, suara nyaring ngeri

Menghalau keluarga sendiri, menganggap jahil guru awali

Ajaran Nabi dan pewaris tradisi disifat tiada sesuai lagi

Bagi meniti arus pluralisme dan cabaran globalisasi.

- Petikan dari “Dalam Terang”

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud



SISMA, PEMUDA DAN KEPEMUDAAN

SISMA yang didokong oleh pemuda pemudi wajib memiliki ciri-ciri kepemudaan yang sering dinukilkan di dalam coretan-coretan sejarah kegemilangan sesuatu bangsa. Aktivisme, idealisme dan sentiviti terhadap isu-isu semasa adalah antara elemen-elemen unggul yang perlu disuburkan menjadi fakulti di dalam diri seorang pemuda. Pemuda merupakan aset penting bagi agama, bangsa dan negara. Hal ini disebabkan keupayaan mereka menggarap segala kemampuan yang ada dan mampu membawa sohwah (kebangkitan) yang dicita-citakan. Seperti pada awal kalam tadi, telah kita gambarkan serna sedikit pemuda al-Kahfi yang merupakan contoh terbaik pemuda yang ber’kepemuda’an. Pemuda yang sanggup menegakkan kebenaran kerana memahami erti sebenar perjuangan tanpa ada syak dan kecelaruan identiti.

                Prof Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA) menulis dalam bukunya Lembaga Budi, “ Sememangnya generasi muda merupakan generasi terbaik untuk mengalami proses pembentukan mental, pembangunan sahsiah, dan ketangkasan fizikal. Mereka memiliki potensi yang pelbagai dan kejayaan yang boleh menyumbang ke arah pembangunan sumber yang berkualiti ”.

                Menelusuri sejarah kegemilangan Islam, peranan orang muda begitu signifikan kepada perjuangan dakwah Rasullullah s.a.w. Ramai dalam kalangan orang yang mula-mula memeluk Islam “assabiqul awwalun” terdiri dalam kalangan golongan pemuda dan Remaja seperti Ali bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas dan sebagainya. Selain itu, kehebatan pemuda Islam seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Tariq bin Ziad, dan ramai lagi. Justeru itu, tidak dinafikan lagi sumbangan generasi muda dalam menyebarkan syiar Islam telah memberi impak besar terhadap momentum survival Islam sama ada melalui duta dakwah Nabi ke negara-negara Arab mahupun jihad.

                Namun, di mana silapnya kita pada hari ini? Fenomena lesu, buntu dan tidak bermaya umpama mayat tidak bernyawa. Dada kosong tidak punya citra, jiwa santai dan mati rasa. Fenomena ini kain menyelubungi para da’ie kita, dakwah dan usrah kian longgar, urusan jamaah tidak lagi menjadi keutamaan, ramai yang telah gugur di persimpangan jalan, daya tarikan kian pudar, semangat kian luntur, nikmat ibadah, ukhuwwah dan mujahiddah sudah tidak meresap sampai ke jiwa, kurang muhasabah menjadikan gerakan kita tumpul dan tidak bermaya. Namun sesungguhnya, kami percaya setiap permasalahan, ada jawapannya, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Firman Allah :

“ Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim Al-Quran itu hanya akan menambah kerugian ”

Al-Isra’ (17:83)

                Kits tidak terlalu bersifat nostalgik. Lalu kita masih lagi tidak lekang menceritakan tentang keunggulan Islam di zaman kemunculan di Andalusia, kota lagenda 1001 malam Baghdad, Pulau Sicily di Selatan Italy, Constantinople di zaman Sultan Muhammad bin Murad Al-Fateh, Palestin dibawah genggaman Solahuddin al-Ayyubi, dan sebagainya. Kita tidak boleh lagi terlalu berbangga dengan kebijaksanaan Ibnu Sina, kepintaran Omar Khayyam, ketinggian akal Ibnu Nafis, kecerdikan al-Ghazali atau sesiapa sahaja. Ya, tidak salah hal ini diungkapkan untuk mengimbau kekuatan lampau dengan tujuan memercikan semangat kesedaran dan keinsafan, tetapi hal ini janganlah terlalu bersifat retorik dan nostalgika sehingga melupakan kita daripada matlamat perjuangan yang ada di hadapan mata sekarang. Pemuda mesti mencipta sejarah, menjiwai nilai kepemudaan itulah kuncinya. Kata pujangga


“ Bukan seorang pemuda yang asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku “

WASALAM....

BIBLIOGRAFI

Prof. Abdullah Hassan. 2002. Komunikasi untuk Pendakwah. PTS Publication SDN BHD. ISBN 983-2311- 46-2

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2001. Risalah untuk Kaum Muslimin. Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam. ISBN 983-9379-18-6

Ismail Abdul Rahman dan Mohd Nasir Omar. 1991. Islam, Cabaran dan Isu Semasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-2186-7

Wan Muhammad Nor Wan Daud. 2004. Dalam Terang. Tradisi Ilmu SDN BHD. ISBN 967-940-089-1

Buku Panduan Program Usrah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Prof. Dr, Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah. Lembaga Budi





                                                                                      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Light Green Pointer