Memaparkan catatan dengan label Usrah Sisma. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Usrah Sisma. Papar semua catatan

Isnin, 30 Mei 2011

AIR MATA TAUBAT

Assalammualaikum wth...

Pada 12 Mei 2011, iaitu pada hari khamis, sekali lagi usrah SISMA telah diadakan yang bertempat di SKTM, UMS. Usrah pada kali ini membincangkan tentang tafsir surah Al-Baqarah Ayat 37-39 yang mengupas tentang kisah taubat Nabi Adam a.s.

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
(Al-Baqarah : 37)
Melalui ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Penerima Taubat. Walaupun Nabi Adam a.s telah melakukan kesalahan kerana terpedaya dengan tipu helah iblis lalu melanggar larangan Allah S.W.T dengan memakan buah dari pohon larangan yang terdapat di syurga, namun Allah S.W.T akhirnya telah menerima taubat serta mengampunkan perbuatan Nabi Adam a.s dan Hawa.

Persoalan utama yang telah dibincangkan sepanjang sesi usrah ialah tetang kisah pohon larangan dan kepentingan taubat dalam kehidupan manusia.
Mengapa wujud pohon larangan di syurga ketika Nabi Adam a.s berada di syurga? Kepentingan taubat dalam kehidupan..


Kisah Nabi Adam a.s. dan Hawa serta pohon larangan telah memberikan satu pengajaran yang cukup berkesan sekali kepada umat manusia pada hari ini. Pohon larangan yang telah berjaya menyebabkan Nabi Adam a.s dan Hawa dikeluarkan dari syurga dan akhirnya diturunkan ke dunia merupakan simbolik bahawa setiap perbuatan pasti akan ada akibatnya.Pohon larangan tersebut telah menjadi satu simbol godaan yang sinonim dengan kehidupan manusia pada hari ini yang dipenuhi dengan pelbagai godaan duniawi. Justeru, hanya orang-orang yang bersungguh-sungguh berjihad di jalan Allah S.W.T akan bertahan dengan segala godaan-godaan ini.

Manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan, dan sudah lumrah manusia akan sering terlalai dan terleka. Kehidupan di dunia adalah ujian dan ujian ini bukanlah mudah kerana ia adalah satu perjuangan iaitu perjuangan untuk terus mempertahankan kebenaran Islam yang sebenar.Namun, bukan semudah itu kerana sejak dari azali lagi, Iblis serta pengikut-pengikutnya telah mengisytiharkan perang dengan umat manusia dan akan berusaha dengan cara apa sekalipun untuk memperdaya manusia.Oleh kerana itu, Allah S.W.T telah memberikan akal dan pengetahuan kepada manusia agar mereka mampu berfikir bagaimana cara untuk memenangi pertempuran ini.

Kisah pohoh larangan juga memberi pengajaran kepada umat manusia bahawa manusia pasti akan membuat kesalahan, kemudian akan merasa menyesal dan seterusnya belajar untuk bertaubat. Ujian di dunia itu pasti ada, dan oleh kerana itu setiap manusia yang telah dipilih untuk menjadi khalifah di muka bumi ini harus mempersiapkan diri untuk menghadapi semua ujian-ujian itu. Selain itu, manusia juga diperintah untuk segera bertaubat setelah melakukan kesalahan sama ada kecil ataupun besar. Taubat adalah suatu syariat yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah-lengah. Taubat adalah jalan untuk menuju segala macam kebaikan sama ada kebaikan dunia ataupun kebaikan akhirat. Justeru itu, adalah penting bagi setiapa orang itu melaksanakan agenda taubat setiap hari tanpa tertangguh-tangguh.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah berbuat amal salih sebelum masa kamu dipenuhi (sibuk) oleh urusan dan kerja. Hubungkanlah pertalian di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyak ingatan (berzikir) kepadaNya. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Syarat-syarat sah taubat :

1.Meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera.

2.Menyesali perbuatan itu.

3.Berazam tidak akan mengulanginya perbuatan itu lagi.

4.Meminta maaf jika melakukan kesalahan dengan orang lain.


Cara untuk menangkis pujukan syaitan :
  • Menjaga hati supaya tidak lalai dan hanyut oleh bisikan syaitan. Hati perlu sentiasa dipandu dengan mengingati Allah. 
  • Sentiasa memohon perlindungan kepada Allah S.W.T supaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatannya.

Penutup

Walau sesukar mana sekalipun kehidupan di dunia ini, dan walau sehebat mana godaan yang harus kita hadapi, kita tidak sewajarnya berputus asa dengan kehidupan ini.Sebaliknya, kita seharusnya bersyukur kerana sehingga ke hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk terus menikmti kehidupan di dunia ini dan yang penting masih diberi waktu untuk terus bertaubat kepadaNya. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Justeru, adalah wajib bagi setiap orang melazimkan diri untuk bertaubat agar memperoleh kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.


Orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju jalan kebaikan, kemudian memanjatkan doa kepada Allah S.W.T dengan rasa rendah diri dan takut sesungguhnya Allah akan membimbingnya ke jalan petunjuk dan memeliharanya daripada kejahatan nafsu dan syaitan.



Jumaat, 13 Mei 2011

Hapuskan Takutmu

Assalammualaikum wth....

Pada 12 Mei bersamaan dengan hari khamis, SISMA UMS telah mengadakan usrah yang bertempat di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM), UMS. Sekadar perkongsian kepada rakan-rakan sisma.Ini adalah antara topik yang dibincangkan pada usrah UMS (12 Mei).Sesuai dengan status kita sebagai seorang mahasiswa/i iaitu malu untuk menanyakan soalan atau menyuarakan pendapat mahupun menjawab pertanyaan kerana takut dan tidak punya keyakinan diri adalah fenomena biasa yang kita lihat di kelas atau pun di bilik-bilik kuliah terutamanya dalam kalangan pelajar tempatan.

Apa yang harus dilakukan?
Disini mungkin terdapat sedikit tips untuk dikongsi bersama

Manusia kebanyakan lahirnya sama, cuma cara didikannya lain.Cara didikan sewaktu kecil banyak mempengaruhi kehidupan waktu besar.Ada juga yang lahirnya dianugerahi oleh Allah pengetahuan dan sifat yang luar biasa iaitu didikan terus daripada Tuhan.Mutakhir ini, ramai orang yang sudah kehilangan keyakinan diri akibat tersalah cara didikan.Bukan setakat tiada keyakinan diri, malah tiada juga 'common sense'. Terlalu susah untuk hidup bermasyarakat.

Semasa Kecil
Didikan keyakinan diri semasa kecil sangat penting. Ibu bapa perlu sentiasa memberi peluang kepada anak-anak.Contohnya memberi peluang untuk anak memberi pandangan dan bercakap walaupun suatu perkara itu tidak bernas.Itu hanya pandangan dan idea.Ibu bapa juga jangan terlalu cepat melarang akan sesuatu perkara.Saya kemukan satu contoh kehidupan di sebuah negara di barat.Mereka melatih anak-anak mereka sentiasa berani mencuba.Suatu ketika di taman permainan, seorang anak lingkungan tiga tahun sedang cuba memanjat papan gelongsor sambil diperhatikan oleh kedua ibubapanya.Tindakan itu bagi anak yang berumur tiga tahun adalah bahaya.Ibubapa tersebut hanya memberitahu kepada anak tersebut bahawa perkara itu bahaya, tetapi tidak sekali-kali melarang.Budak itu terus mencuba memanjat sehingga berjaya ke atas.Sikap melatih anak berani mencuba sangat digalakkan. Ini satu sifat positif yang boleh kita ambil dari barat walaupun mereka banyak juga yang negatifnya.

Malu atau Takut? Kedua-duanya berkaitan keyakinan diri.
Lihat sahaja di IPT mana-mana pun, pelajar-pelajar takut sahaja untuk berjumpa atau menjawab soalan yang diberikan oleh pensyarah dalam kuliah, semua nya kerana takut salah! punca takut salah adalah kerana tiada keyakinan diri.Ia berlaku dimana-mana sahaja, bukan sahaja di IPT-IPT malah semua tempat. Puncanya semua sama. Tiada keyakinan diri.Terlalu merisaukan kata orang juga adalah faktor kehilangan keyakinan diri.
Contohnya anda terlalu risaukan kata kawan anda jika anda berpendapat seperti itu dan ini, maka akhirnya anda terus senyap, akhirnya kaku dan beku...

Kelebihan Manusia
Minda manusia boleh menentukan perilaku manusia melalui imaginasi sebelum berlaku perbuatan.Contohnya seorang pengerusi sebuah majlis yang di arahkan untuk menceriakan dewan, tentu sahaja dia berimaginasi terlebih dahulu keadaan-keadaan yang bakal berlaku dan bagaimana dia bakal menangkap suasana di dewan itu nanti.Perkara ini semua berkaitan dengan minda dan keyakinan diri, jika setiap hari minda dilatih dan dibasuh dengan perkataan 'TIDAK BOLEH' maka hasilnya tidak boleh juga.Demikian juga sebaliknya.

Lihat sahaja sejarah tentera islam yang diketuai oleh sultan Muhammad Al-Fateh yang menawan Constantinople (Istanbul).Beliau sudah pun terlalu lama berimaginasi untuk menawan kota tersebut, setiap hari dengan diiringi solat dan doa beliau menyusun strategi dan sentiasa berimaginasi tentang semua keadaaan yang bakal berlaku.Ini yang menjadikan beliau hebat.Begitu juga beberapa pemimpin yang lain.

Cuba Latih Minda Setiap Hari
Oleh itu, apa yang anda imaginasikan pastikan ia positif dan seterusnya anda melakukannya di alam nyata.Minda manusia sangat hebat. Ibarat seluruh cakerawala yang ada di dalam otak.Kepantasannya juga mengalahkan komputer yang canggih. Cuma untuk mencapai semua itu, ia memerlukan tuan minda yang sentiasa melatih minda supaya sentiasa positif.Kepada anda juga, jangan terus suka menghukum dan menyalahi orang yang sedang cuba membina keyakinan diri.Ia tidaklah dibina dalam tempoh yang singkat, malah ia panjang.Jadi dalam tempoh yang panjang itu mungkin sahaja berlaku pelbagai kesilapan.Biasalah, ia adalah proses! kalau terus berjaya bukan manusia namanya itu.Sentiasalah berlapang dada!Terus menerus melatih, cuba mencari peluang dimana-mana supaya keyakinan diri itu datang secara lansung semasa mencuba.Jangan takut salah! Orang yang takut salah adalah orang yang susah untuk berjaya.Maka berhati-hatilah kerana itu lebih baik.
Light Green Pointer