Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan

Ahad, 29 Januari 2012

Program IQRA (Mari Mengenal Islam) Di Kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wth...

Biro SISWAZAH MUDA ABIM SABAH (SISMA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2010/2011 telah mengadakan Program IQRA di Kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah pada 20-22 Januari 2012 yang lalu. Program ini diterajui oleh 10 orang sukarelawan dan sukarelawati yang terdiri daripada mahasiswa & mahasiswi Universiti Malaysia Sabah. Sukarelawan ini juga merupakan antara penggerak aktif yang bergiat dalam lapangan kerja-kerja dakwah dalam Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) bagi sesi 2011/2012. Program ini diketuai oleh saudara Ahmad Ramzy bin Mohd Rathi selaku pengarah program serta saudari Farawahida binti Mohd Abdul Hakim selaku setiausaha program beserta 9 orang ahli jawatankuasa kecil. Selain itu turut dihadiri oleh Saudari Siti Nur Dalila binti Melatu Samsi selaku penolong setiausaha agung 2 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk turut sama dalam program IQRA buat julung-julang kalinya dilaksanakan.

Antara objektif program ini adalah untuk membantu saudara-saudara baru islam dalam memahami dan lebih mendalami tentang cara hidup islam dalam urusan seharian. Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam dengan penekanan dari aspek soal akidah, solat dan bersuci, selain itu terdapat penekanan dalam aspek teori dan praktikal tentang cara penyembelihan binatang menurut cara islam serta pengurusan jenazah turut diberikan. 

Kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah mempunyai 27 keluarga islam yang terdiri daripada 130 orang yang menganut islam dalam latar belakang pelbagai peringkat usia. Mereka sangat mendambakan pengisian keagamaan yang memerlukan pengisian dari segi pendidikan agama terutamanya dalam perihal ibadah. Sepanjang program berlangsung sebelum dan semasa program team kami dibantu sepenuhnya oleh ustaz hafiz dan cikgu Abi yang merupakan antara tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pandiwan & Sekolah Menengah Kebangsaan Pandiwan (2), Nabawan, Sabah. Mereka adalah antara insan  yang berhati mulia yang sanggup membantu dari segi tenaga, masa serta wang ringgit untuk membantu saudara-saudara baru di kampung ini.

                                     ALBUM KENANGAN IQRA KAMPUNG PANDIWAN


pengisian rohani saudara Ahmad Ramzy bersama kaum bapa

pengisian rohani dalam kumpulan bersama remaja perempuan

gotong-royong mendirikan khemah dihadapan surau antara masyarakat kampung dan sukarelawan
Sesi taaruf peserta perempuan

Surau Kampung Pndiwan, Nabawan, Sabah..tempat berlangsung program IQRA ( Mari mengenal ISLAM )

sesi riadah golongan kanak-kanak dan remaja

Praktikal solat berjemaah golongan remaja dan kanak-kanak

antara penduduk kampung yang terlibat

keadaan dapur sepanjang program IQRA berlangsung

para sukarelawan berbincang tentang aktiviti serta perancangan untuk keesokan harinya

praktikal sembelihan ayam kampung dengan penduduk kampung

gotong royong sukarelawan dan peserta mencabut bulu ayam setelah disembelih untuk dimasak

penduduk kampung yang bergotong-royong di dapur yang memasak makanan pada hari ahad dalam acara kenduri cara islam berlangsung

gotong-royong bersihkan ayam  dan memotong ayam yang telah disembelih

tetamu yang hadir dalam majlis penutupan program dari kiri YDP ABIM Sabah Dr. Abdullah Bade, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan serta Pengerusi Surau Kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah Cikgu Abi

majlis penutupan Program IQRA

penyerahan sumbangan berupa beras, gula, kopi dan garam kepada penduduk kampung oleh YDP ABIM Sabah Dr. Abdullah Bade

bergambar kenangan dengan penduduk kampung serta para sukarelawan.

para srikandi Siswazah Muda ABIM Sabah bergambar kenangan dengan peserta perempuan dan kanak-kanak
Panglima Siswazah Muda ABIM Sabah bergambar kenangan dengan peserta lelaki dan kanak-kanak
Sepanjang tiga hari program ini berlangsung, penglibatan daripada  masyarakat kampung disini sangat menggalakkan. Keperluan mereka bukan sekadar untuk mendapatkan tenaga guru agama untuk mengajar mereka perihal ibadah dan bacan Al-Quran tetapi juga terdapat beberapa keluarga yang sangat memerlukan bantuan material. Sumbangan seperti mukaqdam, iqra, al-quran, sejadah, kain telekung sangat diperlukan oleh penduduk kampung disini, Selain itu dana untuk membaik pulih surau di kampung ini diperlukan untuk menambah fasiliti seperti memperbesarkan surau supaya ada pembahagian antara ruang solat muslimin serta muslimat dan pembinaan ruang mengambil wudhu antara muslimin dan muslimat serta pembinaan tandas lelaki dan perempuan bagi keselesaan jemaah surau ketika ingin menunaikan solat di sini untuk bersolat berjemaah.

 Sehubungan dengan itu, selaku penganjur program, kami juga ada menyediakan sedikit sumbangan yang tidak seberapa bagi mengembirakan keluaraga islam di kampung ini yang berupa beras,gula,garam dan kopi yang telah diserahkan sendiri oleh Dr. Abdullah Bade yang merupakan Yang DiPertua ABIM Sabah sewaktu majlis penutupan program Iqra’ ini.
Sumbangan Kami kepada penduduk kampung
Harapan besar seluruh penduduk Islam kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah agar program sebegini dapat diteruskan dengan sekerap yang boleh...InsyaAllah...

Wasalam...

Penulis : Noor Amira Diana binti Jalani










Jumaat, 2 Disember 2011

Seminar Pemerkasaan Mahasiswa (SPM)

SEMINAR PEMERKASAAN MAHASISWA : MEMUGAR IDEALISME MAHASISWA DINAMIK
(20 NOVEMBER 2011)
ANJURAN
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR SESI 2010/2011
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS)
ANJURAN BERSAMA
SISWAZAH MUDA ABIM SABAH (SISMA) SABAH
TEMPAT
DEWAN RESITAL, UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS)



Seminar Pemerkasaan Mahasiswa telah berjaya dilaksanakan pada 20 November 2011 (Ahad) . Program ini adalah anjuran Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011 di bawah Jabatan Pembangunan Insan bersama Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah. Seminar ini bertujuan untuk memberi dan mendedahkan cabaran dan hambatan semasa yang perlu dilalui oleh Mahasiswa. Seminar ini juga bermatlamat untuk memperkasa mahasiswa dengan idea-idea yang sewajarnya dalam menempuh arus kemajuan global.Selain itu, ianya bertujuan menggubal dan mencadangkan bentuk persediaan (isti’dad) yang dinamik dan transformatif kepada mahasiswa untuk mereka bersikap dan memposisikan diri dalam konteks yang sesuai dengan perkembangan semasa.

Pada pagi 20 November 2011, semua jawatankuasa pelaksana bersama peserta yang terdiri dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah dan pelajar dari IPTA dan IPTS sekitar Kota Kinabalu telah berada di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah. Seawal jam 7.30 pagi, Dewan Resital telah menerima kehadiran peserta dari luar. Seminar yang diadakan ini merupakan seminar pertama yang berkonsepkan keintelektualan dan kemahasasiswaan yang mana dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah di bawah Jabatan Pembangunan Insan dan Siswazah Muda Abim (SISMA) Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah.

Alhamdulillah sesi pendaftaran berjalan dengan lancar hasil kerjasama yang baik dari jawatankuasa pelaksana.Pada masa yang sama, jawatankuasa teknikal membuat persiapan yang terakhir di dalam dewan. Manakala jawatankuasa protokol bersama penasihat dan pengarah program bersedia untuk menerima tetamu jemputan di hadapan Dewan Resital.Program bermula pada jam 8.30 dengan menerima kehadiran perasmi seminar iaitu Y. Bhg.ACP (K) Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Kasim Hj. Md. Mansor selaku Timbalan Naib Canselor UMS mewakili Y. Bhg. Brig. Jen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon selaku Naib Canselor UMS bersama dengan penceramah dan ahli-ahli panel jemputan.

Sebelum meneruskan program ke agenda utama seminar, program didahului dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Fatin Nazurah Saman selaku Pengerusi Tetap Seminar Pemerkasaan Mahasiswa. Seterusnya, bagi memberkati seminar yang diadakan ini, bacaan doa diketuai oleh saudara Nur Hilmie bin Milus, pelajar UMSKAL . Selepas itu, nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku dan lagu UMS, Bertekad Cemerlang dinyanyikan bersama-sama tetamu jemputan, jawatankuasa pelaksana dan peserta.

Sesi perasmian seminar dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saudari Pengerusi Tetap kemudian menjemput saudara Abd.Wahid Abd Razak selaku Pengarah Program SEMINAR PEMERKASAAN MAHASISWA bagi menyampaikan sepatah dua kata. Selepas Ucapan Pengarah Program disusuli pula dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Y. Bhg. ACP (K) Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Kasim Hj. Md. Mansor selaku Timbalan Naib Canselor UMS mewakili Y. Bhg. Brig. Jen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon selaku Naib Canselor UMS. Dalam ucapannya, beliau ada menyebut tentang perlunya program-program keintelektualan seperti ini diadakan selalu bagi menjana minda mahasiswa/i UNIVERSITI MALAYSIA SABAH secara khususnya.

Bagi menghargai kesudian Timbalan Naib Canselor merasmikan seminar, Dr. Abdullah Bade selaku Penasihat Program, diiringi oleh saudara Abd.Wahid Abd Razak acara penyampaikan cenderahati kepada perasmi dilakukan.



Setelah Majlis Perasmian selesai, wacana yang pertama dimulakan. Moderator pertama bagi wacana pertama ialah saudara Abdul Ramlie Ibrahim, wakil dari Majlis Belia Sabah. Setelah majlis beralih tangan pada saudara Ramlie, moderator terlebih dahulu memperkenalkan penceramah wacana pertama kepada seisi dewan. Dengan tajuk Memugar Idealisme Dinamik : 1 Malaysia Ke Arah Melahirkan Mahasiswa Dinamik, moderator telah mempersilakan penceramah yang pertama, Y. Bhg. Dr Haji Hanafi bin Hj Harun selaku Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara untuk memulakan wacana beliau.

Dr. Hanafi menekankan nilai-nilai murni iaitu kesederhanaan, rendah hati (tawadhu’), berbudi bahasa dan hormat menghormati dalam ceramah beliau. Selain itu, beliau juga ada menyebut, perlunya penerapan 8 nilai aspirasi dalam diri seorang mahasiswa dalam usaha melahirkan mahasiswa yang dinamik. 8 nilai yang dimaksudkan ialah budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetian, kebijaksanaan dan budaya motivasi.




Dalam wacana yang pertama ini, Dr. Hanafi menggunakan pendekatan yang berinteraksi dengan peserta secara dekat dan terus dengan tidak menggunakan rostrum. Tapi beliau lebih selesa untuk tidak berada di pentas dan memilih berada di bawah bersama para peserta. Setelah diberikan masa selama 30 minit untuk berehat, Pengerusi Tetap memulakan sesi seterusnya dengan memanggil semula para peserta untuk masuk ke dalam Dewan Resital.

Pada sesi wacana yang pertama ini, tidak diadakan sesi soal jawab bagi menyantuni ketetapan masa yang telah ditentukan. Selesai sahaja wacana pertama, moderator menyerahkan semula majlis kepada Pengerusi Tetap. Seterusnya, Pengerusi Tetap menjemput sekali lagi Dr. Abdullah Bade, diiringi Abd. Wahid Abd Razak bagi menyampaikan cenderahati kepada Y. Bhg. Dr Haji Hanafi bin Hj Harun dan saudara Abdul Ramlie Ibrahim. Pada jam 10.30 , seminar berhenti untuk berehat seketika. Para peserta dan penceramah jemputan dijemput untuk minum pagi seusai slot wacana yang pertama. Apa yang dapat dilihat dalam seminar ini, kesemua peserta dapat berinteraksi secara berkesan dengan penceramah.


Wacana kedua diteruskan dengan oleh moderator undangan yang bertanggungjawab bagi wacana yang kedua ini iaitu saudara Mohd Nur Hilmie bin Milus. Dua orang ahli panel yang diundang cukup berpengalaman umtuk mengupas tajuk Memugar Idealisme Dinamik : Solidariti dan Dinamika Mahasiswa ialah Haji Amidi Abdul Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dan Dr. Abdullah Bade, Pensyarah Kanan Sekolah Sains dan Teknologi.

Dalam pembentangan yang disampaikan oleh Haji Amidi Abdul Manan, beliau mendefinisikan maksud soladiriti dan dinamika untuk memberikan gambaran tentang apa yang akan beliau bentangkan. Di akhir pembentangan, beliau mengajak mahasiswa/i berfikir dengan menunjukkan sebuah gambar yang mempunyai rupa yang berlainan dari sudut pandangan yang berbeza. Beliau menekankan perlunya mahasiswa berfikir dan memahami objektif utama seorang mahasiswa. Manakala Dr. Abdullah Bade pula menekankan misi pencerahan mahasiswa dalam usaha untuk melahirkan mahasiswa dinamik. Tamat wacana yang kedua, Abd.Wahid Abd. Razak menyampaikan cenderahati kepada ahli-ahli panel dan moderator selepas sesi soal jawab bersama peserta.


Sebelum mengakhiri seminar ini, satu resolusi program telah dibacakan oleh Abd.Wahid Abd. Razak selaku pengarah program.

Berikut,merupakan resolusi yang dicapai melalui Seminar Pemerkasaan Mahasiswa :-

1. Menyarankan agar seluruh institusi IPTA/IPTS seluruh negeri Sabah terutamanya Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperbanyakkan seminar berbentuk keintelektualan agar mahasiswa dan mahasiswi dapat berfikiran secara kritis dan beridealisme.

2. Mencadangkan agar setiap IPTA/IPTS di seluruh negeri Sabah dapat memperbanyakkan dialog-dialog antara mahasiswa dan mahasiswi agar dapat melahirkan pakar intelektualan yang seimbang dari segi akademik dan pencetusan keberanian untuk berdiri dihadapan khalayak ramai bersuara menyatakan pandangan mereka tentang isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling.

3. Menyeru agar setiap individu mahasiswa dan mahasiswi di seluruh IPTA / IPTS di seluruh Sabah dapat menanamkan semangat kesukarelaan untuk turut sama-sama turun ke masyarakat.

4. Mengesa agar setiap mahasiswa dan mahasiswi dapat membina pemikiran kritis dalan segenap aspek kerana penilaian pemikiran kritis dapat menjurus ke arah pembinaan sahsiah yang unggul.

5. Mencadangkan seluruh mahasiswa & mahasiswi IPTA & IPTS seluruh sabah untuk menjadi mahasiswa yang dinamik dari segi fizikal dan mental di alam universiti

6. Mengesa setiap individu mahasiswa perlu aktif melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan bagi menimba pengalaman sewaktu di alam pendidikan.

7. Mengesa mahasiswa untuk memerdekakan diri daripada perhambaan yang melampau terhadap

kemajuan teknologi dan hegemoni hiburan yang menjadikan mahasiswa itu seorang individu yang materialistik dan Individualistik.

8. Mencadangkan agar setiap individu mahasiswa harus mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.

9. Menyeru agar mahasiswa memperkasakan budaya berfikir, berbincang, menyelidik dan menganalisis semasa bergelar pelajar seterusnya di alam pekerjaan.


Nukilan : 
Nurazimah binti Bongoh
Setiausaha
Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah sesi 2011/2012



Sabtu, 12 November 2011

Program Ihya' Ramadhan: Membina Insan Bertakwa


Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Biro Siswazah Muda Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) Sabah (SISMA) telah mengadakan Program Kami Prihatin pada 12-14 Ogos 2011 di Rumah Putera Harapan, Ranau. Pada masa yang sama, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah juga mengadakan Program Ihya Ramadhan : Membina Insan Bertaqwa pada 13-14 Ogos 2011 di Kampung Tinutuan dan Kampung Timbua Ranau.

Biro SISMA pada mulanya bertanggungjawab mengendalikan program Kami Prihatin, namun 3 orang dari muslimah SISMA terpaksa diserap untuk mengikuti program Ihya Ramadhan untuk turut serta memberi sedikit pengisian kepada penduduk kampung.Kami memulakan program pada hari pertama di kampung Tinutuan. Perjalanan untuk ke sana dari Pekan Ranau mengambil masa lebih kurang sejam walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana. Namun, keadaan jalan yang tidak berturap menyukarkan lagi perjalanan. 

Sampai sahaja di Tinutuan, kami disambut meriah oleh penduduk kampung yang beragama Islam yang majoritinya adalah mualaf. Saya boleh tafsirkan raut wajah mereka seolah-olah mengharapkan suatu pengisian yang mampu meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap agama syumul yakni Islam.Program dimulakan dengan ucapan daripada Yang DiPertua ABIM Sabah, seterusnya ucapan ringkas daripada imam kampung Tinutuan. Program kemudiannya diteruskan dengan pembahagian kumpulan iaitu kumpulan kanak-kanak, belia muslimin dan muslimah serta warga senior muslimin dan muslimah. Mereka diterangkan mengenai asas-asas fardhu ain seperti bacan dalam solat, konsep thaharah, akidah dan lain-lain lagi.


Selesai solat Zohor, program diteruskan dengan praktikal Solat, Tayamum, Istinjak dan cara menyucikan najis. Sementara menunggu waktu Asar, masa yang terluang diisi dengan sesi soal jawab mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga miskin pula dilaksanakan selepas solat Asar. Pada waktu Maghrib pula diadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung, disusuli dengan solat Maghrib berjemaah, kuliah Maghrib, Solat Isyak dan Solat Terawih. Kemudian kami berangkat pulang ke Rumah Putera Harapan. Sesungguhnya pengalaman bersama para mualaf di pedalaman ini cukup memberi kesedaran bahawa pentingnya penghayatan ilmu agama secara istiqomah agar akidah tetap terpelihara.








Perjalanan diteruskan lagi ke kampung Timbua pada keesokan harinya yang mengambil masa lebih kurang setengah jam dari kampung Tinutuan. Aktiviti yang dilaksanakan adalah lebih kurang sama dengan aktiviti di kampung Tinutuan. Cuma keadaannya nampak lebih baik sedikit kerana kawasannya yang agak luas dan kemudahan seperti surau, bilik air dan tempat wudhu lebih selesa.






Program selama dua hari ini amat mencabar ketahanan fizikal dan mental, namun tidak ada jalan mudah untuk menyebarkan dakwah. Program tahunan ini diharap dapat dijalankan dengan lebih kerap lagi untuk memantau perkembangan saudara-saudara yang jauh di pedalaman. Sumbangan seperti beras, minyak dan gula juga turut diedarkan sebagai tanda keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

Disediakan oleh : Nurhamiezrah Midin, Ahli Biro Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah.



PROGRAM KAMI PRIHATIN


Alhamdulillah, Program Kami Prihatin yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah di bawah Exco Jabatan Pembangunan Insan dengan kerjasama Siswazah Muda Abim Sabah (SISMA) telah berjaya dijalankan dengan jayanya bertempat di Rumah Putera Harapan,Ranau,Sabah pada 12-14 Ogos 2011 yang lalu.

Menariknya,program kali ini bukan sahaja melibatkan para mahasiswa dan mahasiswi  tetapi juga para pelajar sekolah menengah. Program ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah khususnya pelajar dengan mahasiswa/i. Pada masa yang sama juga dapat memberikan sedikit galakan dan didikan sebelum memasuki alam universiti  serta merintis kearah melahirkan para pelajar yang aktif terhadap aktiviti kemasyarakatan. Bukan itu sahaja,Program Kami Prihatin ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada para belia untuk merasai pengalaman berpuasa bersama dengan anak yatim dan anak-anak yang kurang berkemampuan. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang telah diatur dalam program ini bermatlamat untuk mendidik  para penghuni  dari segi akademik,sahsiah dan ibadah.

12 Ogos 2011
Selepas menunaikan solat Jumaat,para fasilitator berkumpul di Anjung Siswa UMS. Sekitar jam 2.30,kami bergerak ke Ranau menggunakan bas UMS. Setibanya kami di Rumah Putera Harapan,kami disambut oleh En. Sabri selaku pengurus dan warden Rumah Putera Harapan dengan keriuhan penghuni-penghuni Rumah Putera Harapan. Sementara menunggu waktu berbuka puasa,para fasilitator menunaikan solat Asar terlebih dahulu kemudian fasilitator muslimah membantu penyedian makanan berbuka,manakala fasilitator muslimin bersuai mesra dengan para penghuni Rumah Putera Harapan. Sebagai makluman,sewaktu kami menjalankan program ini,terdapat 22 orang kanak-kanak yang berusia dari 6 tahun hingga 13 tahun. Kesemua penghuni di rumah ini adalah kanak-kanak lelaki. 

Petang itu,kami berbuka puasa bersama-sama dengan penghuni-penghuni RPH. Sebagaimana rutin yang dilakukan oleh mereka,selepas berbuka puasa,kami solat magrib berjemaah di Masjid Ranau,Solat Isyak dan kemudiannya Solat Terawih bersama. Pada malamnya pula,kami lakukan sesi taaruf ringkas bersama penghuni-penghuni RPH bermula dengan sesi memperkenalkan fasi-fasi. Kemudian kami menguji sejauh mana ingatan dan perhatian anak-anak itu sewaktu fasi memperkenalkan diri dengan menyuruh mereka meneka suara fasi dan menjawab soalan-solan mengenai fasi yang sedang bercakap. Pada masa yang sama,mata anak-anak itu ditutup. Selepas itu,kami membahagikan mereka kepada 4 kumpulan iaitu kumpulan Tahmid,Takbir,Tahlil dan Tasbih. Seterusnya sesi taaruf dalam kumpulan kecil bersama fasi-fasi dijalankan.Sebelum melelapkan mata pada malam pertama kami berprogram di sana,kami menyuruh para penghuni RPH mengambil wudhu lalu membaca doa tidur bersama-sama.

13 Ogos 2011
Hari kedua bermusafir di daerah Ranau,kami mulakan dengan qiamulail dalam kalangan fasi. Sewaktu penghuni-penghuni RPH masih lena,muslimah membuat persiapan untuk juadah bersahur. Satu pengalaman yang jarang di alami saat membangunkan anak-anak itu dari tidur untuk bersahur. Melihat akan wajah anak-anak yang mengantuk dan lemah.

Seperti kelazimannya, kami solat subuh selepas bersahur. Tazkirah Subuh disampaikan oleh pelajar SMK Tansau. Modul pertama kami bermula selepas anak-anak RPH melakukan kendiri.  Objektif bagi modul pertama ini ialah untuk mengajar dan mendidik penghuni-penghuni RPH agar sentiasa beradab dan berakhlak baik dalam kehidupan seharian. Teori bagi modul ini disampaikan melalui tayangan video dan penerangan dari PIC (person in charge). Kemudian, ia dipraktikkan melalui lakonan menggunakan situasi-situasi yang diberi oleh fasi. Aktiviti ini dilakukan dalam kumpulan.Mengikut tentatif asal, aktiviti seterusnya ialah ceramah. Walaubagaimanapun,ceramah tidak dapat dilaksanakan kerana RPH menerima kehadiran pelawat daripada pihak Petronas yang datang untuk memberikan sumbangan kepada penghuni-penghuni RPH.

Sementara menunggu azan Zohor berkumandang,kami  mengajak penghuni-penghuni RPH menonton movie kanak-kanak. Pada masa yang sama setiap fasi membawa seorang penghuni(6 orang pada satu-satu masa) keluar dari kumpulan rakan-rakannya yang lain untuk diajak berbual bagi menyelami keadaan kehidupan dan perasaaan mereka juga untuk memberi mereka motivasi.Tengah hari itu,para fasi dan penghuni-penghuni RPH menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid Ranau. Kemudian,dengan bantuan para fasi,anak-anak ini dibimbing bacaan Al-Qurannya. Manakala bagi penghuni-penghuni  yang masih agak kecil,mereka dibimbing membaca Iqra.’

Selepas pengisian rohani,kami mengisi  minda penghuni-penghuni RPH dengan idea-idea melalui modul yang kedua.  Dalam modul kedua ini fasilitator “membawa” penghuni-penghuni RPH ke alam “perang dunia ketiga” iaitu alam peperangan. Pada situasi tersebut, bumi diserang, bahkan pada bila-bila masa sahaja bumi  akan meletup. Fasilitator  menerangkan bahawa ada sebuah pesawat pejuang yang terakhir akan berlepas. Fasilitator juga  menerangkan bahawa pada saat itu terdapat 6 orang yang perlu diselamatkan daripada 10 orang. Di sini la kita dapat melihat sejauh mana pemikiran dan kekretifan penghuni RPH dalam menyelesaikan masalah melalui hujah dan sebab yang diutarakan.

Kemudian, dalam aktiviti kedua dalam modul 2 ini,kami menguji sejauh mana tahap ingatan dan perhatian penghuni-penghuni RPH. Dalam  1 barisan lurus, para penghuni RPH perlu menyampaikan 1 petikan yang diberikan oleh fasi daripada seorang rakan kepada rakan yang lain bermula dari orang pertama hingga orang terakhir dengan hanya berbisik . Orang yang terakhir perlu menulis petikan yang didengarinya.

Pada rancangan asal, aktiviti pada petang Sabtu adalah membawa penghuni-penghuni RPH ke bazaar Ramadhan. Walau bagaimanapun,keadaan cuaca tidak mengizinkan kami  membawa anak-anak tersebut ke luar. Oleh yang demikian, hanya beberapa orang sahaja yang di bawa ke bazaar. Manakala,penghuni-penghuni RPH yang lain menonton cerita kanak-kanak.Sebagaimana yang kami lakukan pada hari sebelumnya, kami berbuka puasa bersama-sama dengan penghuni-penghuni RPH selepas mereka membersihkan diri. Kemudian,para fasi dan penghuni-penghuni RPH mendirikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Ranau. Bagi mendidik dan memberi tunjuk ajar tentang solat yang betul kepada anak-anak RPH, kami melakukan solat Isyak dan Terawih di RPH sahaja.

Selepas mengajar mereka tentang fardhu ain,kami teruskan modul yang ke 3 pada malam kedua kami berada di RPH. Modul ke 3 ini lebih menekankan tentang amalan berpuasa dengan mengajar penghuni-penghuni RPH mengenai niat puasa,erti puasa , syarat sah dan wajib berpuasa juga tentang perkara-perkara sunat dan makhruh dalam berpuasa serta hal-hal yang berkaitan.Kami akhiri aktiviti-aktiviti pada hari Sabtu dengan menyuruh penghuni-penghuni RPH mengambil wudhu dan membaca doa tidur bersama-sama.

14 Ogos 2011
Dimulai dengan qiamulail,kami memulakan hari terakhir Program Kami Prihatin. Selepas bersahur bersama,kami menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Ranau. Kemudian,kami kembali semula ke RPH untuk mendengar tazkirah subuh. Tazkirah kali ini disampaikan oleh adik Rahimi dari SMK Tansau dengan membawa kisah-kisah teladan pada zaman para sahabat.


Setelah selesai memberikan pengisian rohani, penghuni-penghuni RPH melakukan kendiri. Selepas itu,kami memulakan modul yang ke 4. Melalui modul ini,kita dapat mencungkil bakat, minat dan keyakinan diri para penghuni melalui pertandingan. Selain itu,kemahiran 3M turut diuji dalam modul ini. Antara pertandingan yang diadakan, ialah pertandingan azan dan pertandingan bercerita. Bagi aktiviti 3M pula,para penghuni dikehendaki membina perkataan sebanyak yang mungkin melalui perkataan ‘Puasa Ramadhan’. Turut diadakan,aktiviti yang menguji kepantasan anak-anak ini mengira.

Selesai melakukan modul yang terakhir, kami membuat satu majlis penutupan ringkas bagi memberi penghargaan kepada kepada pihak RPH. Majlis ringkas itu turut dihadiri oleh pengurus RPH. Setelah tamat, kami bergotong royong membersihkan kawasan RPH  kemudian solat zohor berjemaah. Sekitar jam 1 petang,kami bergerak meninggalkan RPH selepas bersalam-salaman bersama penghuni-penghuni RPH.



Sesi suai kenal dengan fasi



Persembahan nasyid oleh anak-anak Rumah Putera Harapan


 Latihan dalam kumpulan


Riadah pagi


 Aktiviti membersihkan kawasan rumah







Jumaat, 13 Mei 2011

Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2011


Majlis Pelancaran Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah. 
Pada 15hb Mei ini bertempat di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. Masa 7.00 pagi hingga 1 petang.Datanglah beramai-ramai untuk memeriahkanya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.Skuad Prihatin Abim Sabah akan mengadakan kempen belia Sihat Rohani sempena majlis itu.Kepada muslimin dan muslimat SISMA serta team-team Skuad Prihatin ABIM Sabah datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan majlis sambil mengedarkan risalah. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan sekretariat ABIM Sabah di talian 088-212080.
Light Green Pointer