Sabtu, 21 Mei 2011

HIJAB ITU INDAH



HIJAB ITU INDAH

PENGENALAN
Skop isu yang akan dibincangkan ialah berkaitan dengan isu hijab, kerana isu ini masih relevan untuk diperkatakan. Islam menjaga kehormatan wanita dengan mewujudkan satu sistem hijab yang merangkumi antara lain garis panduan pakaian menutup aurat dan menjaga pandangan dan batas-batas pergaulan untuk mengatur interaksi antara lelaki dan perempuan dalam masyarakat. Hijab dari segi bahasa ialah benda yang menutup sesuatu dengannya. Ia adalah kata terbitan daripada kata akar ''ha-ja-ba'' yang bermakna untuk tudung, untuk tutup, untuk tadbir dan untk melindungi. Hijab dari segi istilah @ syarak ialah seluruh pakaian sopan bagi wanita Islam, hijab juga boleh diertikan sebagai skarft kepala atau sejenis tutup kepala yang mana kain berbentuk segi empat segi dilipat menjadi tiga segi, kemudian diletakkan diatas kepala dan diketatkan di bawah dagu,ini adalah cara terkini yang paling biasa digunakan oleh wanita masa kini. Pepatah melayu ada menyebut ''wanita yabg berpakaian sopan umpama mutiara di dalam cengkerang''

Perihal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:

“ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…..”


Dalam ayat yang terkandung dalam Surah An-Nur ini, diperintahkan kepada wanita Islam untuk menutup aurat. Di dalam ayat di atas juga terkandung tatasusila pemakaian hijab bagi muslimah iaitu hendaklah menutup kepala dengan tudung. Perintah hijab juga terkandung di dalam Surah al-Ahzab ayat 53. Berhijab merupakan tuntutan Islam yang wajib disempurnakan oleh setiap umat islam sebagai tanda kepatuhan kita kepada segala arahan Allah S.W.T. Selain ditakrifkan sebagai tudung, hijab ialah berpakaian menutup tubuh sepenuhnya kecuali muka dan tangan dengan pakaian yang longgar, tidak jarang atau nipis. Hijab juga merupakan peringatan terhadap perhambaan diri kepada Allah yang Maha Esa serta memakai pakaian secara sopan sebagai perisai bagi menjaga kehormatan diri.

PENINDASAN KEPADA WANITA BERHIJAB


Tahukah wanita Islam, bahawa di Barat, tudung atau hijab dianggap sebagai simbol penindasan dan merendahkan martabat wanita? Wanita Islam dilihat sebagai tertindas dan tidak bebas dengan mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat. Tetapi, Barat tidak tahu bahawa Islam tidak pernah menindas mana-mana gender, baik lelaki mahupun wanita. Wanita Islam sebenarnya tidak ditindas oleh agama dan masyarakat Islam tetapi tertindas dan dipinggirkan oleh masyarakat Barat sendiri.


REALITI DI MALAYSIA


Negara Malaysia tidak terlepas daripada penindasan terhadap golongan wanita berhijab ini. Realiti yang berlaku ialah golongan ini didiskriminasikan di dalam sektor pekerjaan. Kita boleh lihat apabila wanita bertudung memohon kerja di bidang perhotelan, penyiaran dan di sektor-sektor swasta seringkali ditolak permohonannya dengan alasan mereka bertudung. Situasi ini berlaku apabila seorang guru di sebuah sekolah agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Pahang yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka (Utusan Malaysia, 25 Februari 2006).

Begitu juga nasib seorang wanita, Habsah Jaafar yang telah dibuang kerja oleh majikannya, Hotel Renaissance. Alasannya kerana wanita itu tidak dibenarkan bertudung semasa bekerja (Utusan Malaysia 27 Februari 2006).


Kita boleh lihat dalam konteks Malaysia, sesetengah masyarakat kita lebih mementingkan wanita yang berpakaian seksi berbanding mereka yang menutup aurat seperti yang berlaku kepada pramugari dan lain-lain lagi. Namun yang musykilnya ialah mengapa mereka meletakkan kaum lelaki (pramugara) dengan pakaian menutup aurat. Mengapa tidak sahaja diwajibkan dengan memakai seluar pendek?! Jelaslah bahawa manusia sudah tidak tahu erti batasan aurat yang perlu diperjuangkan. Hal ini perlu dikaji dan diteliti, pihak-pihak bukan kerajaan pula perlu menggesa pihak berkuasa untuk merubah etika pemakaian di samping menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di dalam sektor pekerjaan. Hal ini bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Exco Peguam Syarie Malaysia, Nur Hidayah Muhd Hashim di dalam rencananya di Berita Harian bulan Februari 2008. Beliau menyatakan bahawa Malaysia berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini. Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya.


MASALAH DAN CABARAN TERHADAP WANITA BERHIJAB


Apabila melihat isu wanita berhijab ini, mereka seringkali dikaitkan dengan keganasan. Adakah perkara ini benar? Barat seringkali dengan sewenang-wenangnya melabelkan seseorang itu tanpa hujah dan hanya berlandaskan emosi dan hawa nafsu. Kita boleh lihat juga contoh yang lain di mana Barat menggelarkan Islam sebagai terroris sedangkan Islam menganjurkan umatnya keamanan dan kasih sayang. Bagaimanakah dengan berhijab boleh melakukan keganasan? Tudung bukan simbol penindasan kepada wanita. Walaupun dari segi rasionalnya, pemakaian tudung melambangkan nilai kemuliaan dan kehormatan, Islam memandang dan meletakkan nilai tudung lebih daripada yang disarankan oleh agama lain.


Ini kerana tudung dalam konteks Islam telah terkandung di dalam al-Quran dan pemakaiannya bukan sekadar sebagai hiasan kepala.Apa yang boleh kita perhatikan ialah mereka yang memakai hijab ini dikurniakan hidayah Allah dan bagaimana mungkin mereka boleh bertindak di luat batasan. Namun tidak dinafikan bahawa wanita berhijab ini juga seringkali memaparkan akhlak yang kurang menyenangkan. Ini adalah cabaran kepada mereka yang berhijab.

 SALAH FAHAM TENTANG HIJAB

Situasi di Malaysia pada zaman sekarang melibatkan kesalahfahaman yang terjadi akibat ceteknya ilmu pengetahuan dalam masalah hijab atau aurat wanita Islam. Mereka telah menyempitkan konsep hijab kepada sehelai kain semata-mata, sedangkan konsep hijab itu sangat luas merangkumi dalaman dan luaran. Mereka menyangka dengan berhijab mereka sudah menutup aurat sedangkan pakaian mereka masih ketat dan pendek, seluar singkat dan sebagainya. Mereka harus sedar akan konsep menutup aurat bukan sahaja terletak hanya menutup kepala sahaja malah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Kesedaran ini perlu diberikan kepada wanita – wanita Islam di luar sana supaya mereka jelas tentang konsep menutup aurat di dalam Islam. Seharusnya mereka tidak patut memalukan golongan yang bertudung dengan melakukan perkara sebegini! Bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. 

Jika kita mahu memperincikan salah faham tersebut, kita boleh bahagikan kepada 14jenis salah faham dan ia adalah pemandangan yang biasa kita lihat di tempat awam atau kenderaan awam :

1. Mengenakan tudung atau baju kebarung atau baju kebaya yang kainnya terbelah malah sendat.
2. Mengenakan tudung tetapi memakai baju t-shirt atau kemeja lengan pendek
3. Mengenakan tudung, memakai baju t-shirt atau kemeja lengan panjang tetapi lengan bajunya dilipat
4.Mengenakan tudung tetapi menddedahkan jambul atau hujung rambutnya
5. Mengenakan tudung tetapi hujung tudungnya dilempar atau dipinkan ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya daripada ditutup oleh tudung
6. Mengenakan tudung tetapi kain tudungnya singkat, atas paras dada menampakkan benjolan buah dada
7. Mengenakan tudung tetapi kain tudungnya amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya
8.Berseluar sama ada seluar slack atau jean tetapi seluarnya ketat dan menampakkan bentuk dan potongan kaki, terutamanya pinggang, pinggul dan peha
9. Berbaju kemeja, tetapi kemeja yang dipakai singkat dan ketat. Kain kemeja itu tidak menutup atau melabuhkan sehingga menutup bahagian kemaluan depan atau belakang
10. Berbaju t-shirt dan berlengan pendek serta menampakkan lengan dan siku
11.Memakai baju kurung yang sangat ketat, menampakkan bentuk badan, menampakkan pinggangnyang langsing, bahagian dada yang dipersempitkan dan warna warni yang cukup menarik perhatian
12. Memakai skirt singkat menampakkan betis dan sesetengahnya suka memakai skirt terbelah yang boleh kelihatan bahagian dalaman apabila duduk didalam bas @ komuter misalnya.
13.Menutup aurat dengan lengkapm tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
14.Menutup aurat dengan lengkap tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasar raya dan tempat-tempat lain.

Pemandangan-pemandangan di atas menunjukkan pelakunya tidak memahami apa makna Islam yang di anuti. Apa makna suruhan menutup aurat tang merangkumi luaran dan dalaman. Kita mempunyai pengetahuan agama sahaja tetapi tidak faham berlandaskan tatatertib agama, tidak membawa apa-apa erti sebenarnya. Jika tidak, tidaklah berlaku dan didedahkan di mana-mana ada wanita bertudung litup tetapi mulutnya jahat dan hatinya juga jahat.
Syaitan yang nampak atau tidak nampak, dalam usaha menggoda manusia memiliki pelbagai cara dan strategi. Strategi yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita. Dia terus berusaha agr manusia keluar daripada landasan yang ditentukan oleh syarak, termasuk melepaskan hijab atau pakaian Muslimah

Masyarakat hari ini kebanyakkannya melihat wanita yang berhijab ini tidak mampu ke hadapan dan tidak boleh menempatkan diri di dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya masyarakat memandang wanita berhijab tidak boleh aktif bersukan. Andaian ini adalah tidak benar sama sekali kerana wanita Islam mampu bersaing di persada antarabangsa. Ruqaya al-Ghasara, pemenang Pingat Emas 200m Sukan Asia Doha 2006 menyatakan bahawa memakai hijab tidak menghalang beliau di dalam bidang sukan malah ia telah menggalakkannya. Oleh itu, kita perlu mengubah persepsi masyarakat yang melihat bahawa wanita berhijab tidak mampu menceburi dan menguasai bidang sukan.


Penghayatan pemakaian tudung mengikut syarak oleh wanita Islam di Malaysia amat kurang. Sudah menjadi trend di Malaysia bahawa mereka melihat pemakaian hijab sebagai satu fesyen, bukan lagi satu tuntutan.Teliti dan hayati suruhan Allah dalam surah An-Nur, ayat 31:
“....dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada..”


KESIMPULAN


Umat Islam perlu mengubah mentalitinya yang memandang bahawa Islam tidak mampu mencapai kemajuan dengan berhijab. Menurut Khalif Muammar (2007) di dalam artikelnya “ Pembangunan Semula Tamadun Islam: Halangan dan Cabarannya Dalam Konteks Alam Melayu” menyatakan bahawa mentaliti hamba adalah halangan yang besar dalam usaha memajukan suatu bangsa. Adalah suatu yang lumrah suatu bangsa yang terjajah memiliki kepercayaan terhadap diri yang rendah.


Pembangunan semula tamadun Islam menuntut wanita Islam yang berhijab supaya merubah watak mereka, daripada watak yang pasrah, takut dan berjiwa hamba kepada watak yang kritis, bebas dan berani melakukan perubahan.


Kita perlu menghalang ilmuan diabolik ( perwatakan ala iblis/ jahat) ini daripada melakukan penindasan terhadap golongan wanita Islam. Cadangan Khalif Muammar (2007) agar projek pencerahan dan pemerkasaan minda dan jiwa umat Islam perlu dilakukan secara besar-besaran. Bermula dengan ilmu dan diiukuti dengan amal, semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing; tanggungjawab ilmuawan yang tercerahkan ( enlightened scholars ) untuk menyedarkan dan membimbing masyarakat ; tanggungjawab masyarakat untuk mengikuti dan mendukung; dan tanggungjawab pemerintah untuk pemerintah untuk mendengar dan melaksakan. Besarlah harapan semoga wanita Islam terus terbela daripada penindasan.


Justeru, usaha yang berterusan diperlukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam yang kurang pengetahuan tentang konsep hijab dan pemakaian menurut Islam. Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.

Disediakan oleh : Noor Amira Diana Binti Jalani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Light Green Pointer