Tazkirah Ringkas
Oleh : Tn. Hj. Sulaiman
Tempat : Rumah Putih, Likas
Tarikh : 26 Jun 2011
Masa : 4.30 – 5.30 petang
Assalamu’alaikum wbt. Alhamdulillah, pada 26 Jun 2011 yang lepas, saya dan sahabat-sahabat yang lain telah ditakdirkan untuk mendengar tazkirah ringkas oleh Tn. Hj. Sulaiman, senior dalam Angkatan Belia Islam Malaysia.
Terasa sedikit teruja mendengar tazkirah beliau tentang bagaimana beliau dan senior-senior yang lain masih terus istiqamah dalam gerakan dakwah tanpa pernah ada rasa terbeban, bosan, penat dan lelah. Menurut beliau, sejak awal penglibatan mereka dalam jemaah, beberapa surah dan hadis telah ditekankan kepada mereka seterusnya menjadi pemangkin agar mereka terus komited dalam jemaah.
Surah Ali Imran, ayat 104.
”Dan hendaklah ada antara kamu kumpulan yang mengajak orang kepada perkara baik, menyuruh orang berbuat baik dan melarang orang berbuat jahat. Mereka itulah orang yang berjaya” Tidak ada sesiapapun yang tidak menginginkan kejayaan, apatah lagi jika Allah memberi jaminan kejayaan tersebut. Kita juga boleh, kerana kejayaan itu bukan milik seorang, tapi perkongsian bersama. Suka saya mengingatkan diri dan sahabat-sahabat tentang ayat 110, surah Ali Imran yang bermaksud :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”
Sungguh tinggi penghargaan yang diberikan kepada manusia, kerana kelebihan akal yang dikurniakan kepada kita. Ini adalah merupakan amanat Allah yang wajib dipikul oleh setiap yang bergelar muslim yang mukallaf. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :
“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia,”
Manusia yakni insan, walau dilahirkan berakal namun fitrah manusia itu adalah pelupa. Justeru, setiap insan perlu ingat dan sentiasa diingatkan tentang firman Allah yang bermaksud :
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku,”
(Surah az-Zariyat, 56)
Tidak dinafikan juga, tugas sebagai khalifah, ejen perubah dan umat terbaik ini tidak pernah senang. Pasti akan ada fitnah, cobaan, godaan, cabaran dan perselisihan sesama sendiri. Surah seterusnya adalah sebagai pedoman dan flowchart bagi mereka yang telah melibatkan diri dalam sesebuah jemaah dan ahli-ahli ABIM diberi didikan menggunakan surah ini dengan harapan, tidak akan ada rasa terbeban dan payah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli gerakan Islam. Insya Allah.Surah yang dimaksudkan adalah surah al-Mudassir, ayat 1-7.
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan! Dan Agungkanlah Tuhanmu.Dan Bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji. Dan janganlah engkau (Muhammad) memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.”
Suatu makna yang terkandung dalam ayat ini membawa pengertian bahawa berselimut tidak sekadar terbatas kepada berselimut secara zahir tetapi lebih jauh lagi supaya jangan berselimut dengan fikiran dan khayalan serta lamunan yang menghantui perasaan. Mestikah kita masih berselimut dengan khayalan tentang kejayaan masa lalu yang pernah kita nikmati, tanpa berusaha lagi untuk meningkatkan usaha kita itu? Berada dalam gerakan juga mendorong kita untuk menyumbang sesuatu, bukan sekadar menerima atau duduk diam tanpa melakukan apa-apa.
Kita disuruh bangkit dari khayalan, bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk lebih berjaya. Seorang muslim harus sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai. Bekerja dalam jemaah juga memudahkan kita untuk pergi lebih jauh serta memperbaiki kesilapan dan kekurangan diri dan jemaah.
Perintah mengagungkan Allah menyeru supaya kita bertauhid kepada Allah. Menjunjung tinggi akan kebesaran dan kekuasaanNya. Melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya serta berusaha mempraktikkan segala ketentuan-ketentuan Allah dalam kehidupan. Bergerak dalam jemaah bukan sahaja untuk mengajak orang lain mendekati agama Allah ; Islam yang syumul, tetapi ahli jemaah juga perlu terlebih dahulu mahir akan Islam dan merasa kemanisan Islam itu sendiri.
Bukan hanya baju tetapi otak juga harus diberi pakaian dengan ilmu yang bermanfaat, sikap dan tindak-tanduk kita harus diberi pakaian dalam bentuk akhlak yang mulia. Pakaian yang dimaksudkan adalah pakaian zahir dan batin. Kita perlu bersih luaran dan dalaman. Bagaimana mungkin kita mengajak orang lain membersihkan rohani dan jasmani sedangkan kita tidak memberikan contoh sedemikian?
Seorang lelaki pernah meminta nasihat dan peringatan daripada Ibnu Hanbal. Antara peringatan yang beliau berikan adalah “Jika neraka itu maujud, mengapa engkau mengerjakan dosa?” Justeru, jika kita beriman akan wujudnya hari Pembalasan, seharusnya kita perlu meningkatkan usaha menggandakan pahala dan menghindarkan diri daripada melakukan dosa. Untuk bersih secara dalaman, perbuatan maksiat perlu dijauhi. Kita bukan sahaja diminta untuk mengamalkan amar makruf nahi mungkar kepada orang lain tetapi juga kepada diri sendiri.
Tidak perlu mengharapkan balasan keduniaan jika melaksanakan dan menegakkan agama Allah, kerana balasan di akhirat itu lebih gah, lebih berganda-ganda nilainya berbanding balasan dunia. Harta tidak akan mampu kita bawa ke akhirat dan ianya juga tidak boleh membantu kita masuk ke Syurga. Sesungguhnya balasan Allah jualah yang sempurna. Jika semua kebaikan yang kita taburkan di dunia, kita menagih balasan keduniaan, maka apakah yang akan kita dapat di akhirat nanti? Tidak perlu berkira di jalan Allah kerana kurniaan masa, wang dan tenaga itu datangnya dari Allah juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan