Jumaat, 1 Julai 2011

Ulasan tentang pengalaman Tn. Hj. terus istiqamah dalam gerakan ABIM

Tazkirah Ringkas

Oleh : Tn. Hj. Sulaiman
Tempat : Rumah Putih, Likas
Tarikh : 26 Jun 2011
Masa : 4.30 – 5.30 petang

Assalamu’alaikum wbt. Alhamdulillah, pada 26 Jun 2011 yang lepas, saya dan sahabat-sahabat yang lain telah ditakdirkan untuk mendengar tazkirah ringkas oleh Tn. Hj. Sulaiman, senior dalam Angkatan Belia Islam Malaysia.

Terasa sedikit teruja mendengar tazkirah beliau tentang bagaimana beliau dan senior-senior yang lain masih terus istiqamah dalam gerakan dakwah tanpa pernah ada rasa terbeban, bosan, penat dan lelah. Menurut beliau, sejak awal penglibatan mereka dalam jemaah, beberapa surah dan hadis telah ditekankan kepada mereka seterusnya menjadi pemangkin agar mereka terus komited dalam jemaah.
Surah Ali Imran, ayat 104.

”Dan hendaklah ada antara kamu kumpulan yang mengajak orang kepada perkara baik, menyuruh orang berbuat baik dan melarang orang berbuat jahat. Mereka itulah orang yang berjaya” Tidak ada sesiapapun yang tidak menginginkan kejayaan, apatah lagi jika Allah memberi jaminan kejayaan tersebut. Kita juga boleh, kerana kejayaan itu bukan milik seorang, tapi perkongsian bersama. Suka saya mengingatkan diri dan sahabat-sahabat tentang ayat 110, surah Ali Imran yang bermaksud :

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”

Sungguh tinggi penghargaan yang diberikan kepada manusia, kerana kelebihan akal yang dikurniakan kepada kita. Ini adalah merupakan amanat Allah yang wajib dipikul oleh setiap yang bergelar muslim yang mukallaf. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :
“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia,”
Manusia yakni insan, walau dilahirkan berakal namun fitrah manusia itu adalah pelupa. Justeru, setiap insan perlu ingat dan sentiasa diingatkan tentang firman Allah yang bermaksud :

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku,” 

(Surah az-Zariyat, 56)

Tidak dinafikan juga, tugas sebagai khalifah, ejen perubah dan umat terbaik ini tidak pernah senang. Pasti akan ada fitnah, cobaan, godaan, cabaran dan perselisihan sesama sendiri. Surah seterusnya adalah sebagai pedoman dan flowchart bagi mereka yang telah melibatkan diri dalam sesebuah jemaah dan ahli-ahli ABIM diberi didikan menggunakan surah ini dengan harapan, tidak akan ada rasa terbeban dan payah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli gerakan Islam. Insya Allah.Surah yang dimaksudkan adalah surah al-Mudassir, ayat 1-7. 
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan! Dan Agungkanlah Tuhanmu.Dan Bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji. Dan janganlah engkau (Muhammad) memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.”

Suatu makna yang terkandung dalam ayat ini membawa pengertian bahawa berselimut tidak sekadar terbatas kepada berselimut secara zahir tetapi lebih jauh lagi supaya jangan berselimut dengan fikiran dan khayalan serta lamunan yang menghantui perasaan. Mestikah kita masih berselimut dengan khayalan tentang kejayaan masa lalu yang pernah kita nikmati, tanpa berusaha lagi untuk meningkatkan usaha kita itu? Berada dalam gerakan juga mendorong kita untuk menyumbang sesuatu, bukan sekadar menerima atau duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

Kita disuruh bangkit dari khayalan, bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk lebih berjaya. Seorang muslim harus sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai. Bekerja dalam jemaah juga memudahkan kita untuk pergi lebih jauh serta memperbaiki kesilapan dan kekurangan diri dan jemaah.


Perintah mengagungkan Allah menyeru supaya kita bertauhid kepada Allah. Menjunjung tinggi akan kebesaran dan kekuasaanNya. Melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya serta berusaha mempraktikkan segala ketentuan-ketentuan Allah dalam kehidupan. Bergerak dalam jemaah bukan sahaja untuk mengajak orang lain mendekati agama Allah ; Islam yang syumul, tetapi ahli jemaah juga perlu terlebih dahulu mahir akan Islam dan merasa kemanisan Islam itu sendiri.

Bukan hanya baju tetapi otak juga harus diberi pakaian dengan ilmu yang bermanfaat, sikap dan tindak-tanduk kita harus diberi pakaian dalam bentuk akhlak yang mulia. Pakaian yang dimaksudkan adalah pakaian zahir dan batin. Kita perlu bersih luaran dan dalaman. Bagaimana mungkin kita mengajak orang lain membersihkan rohani dan jasmani sedangkan kita tidak memberikan contoh sedemikian?

Seorang lelaki pernah meminta nasihat dan peringatan daripada Ibnu Hanbal. Antara peringatan yang beliau berikan adalah “Jika neraka itu maujud, mengapa engkau mengerjakan dosa?” Justeru, jika kita beriman akan wujudnya hari Pembalasan, seharusnya kita perlu meningkatkan usaha menggandakan pahala dan menghindarkan diri daripada melakukan dosa. Untuk bersih secara dalaman, perbuatan maksiat perlu dijauhi. Kita bukan sahaja diminta untuk mengamalkan amar makruf nahi mungkar kepada orang lain tetapi juga kepada diri sendiri.

Tidak perlu mengharapkan balasan keduniaan jika melaksanakan dan menegakkan agama Allah, kerana balasan di akhirat itu lebih gah, lebih berganda-ganda nilainya berbanding balasan dunia. Harta tidak akan mampu kita bawa ke akhirat dan ianya juga tidak boleh membantu kita masuk ke Syurga. Sesungguhnya balasan Allah jualah yang sempurna. Jika semua kebaikan yang kita taburkan di dunia, kita menagih balasan keduniaan, maka apakah yang akan kita dapat di akhirat nanti? Tidak perlu berkira di jalan Allah kerana kurniaan masa, wang dan tenaga itu datangnya dari Allah juga.

Ahsana ‘l-qasas (Kisah Terindah)

Oleh: Y.Bhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah.

Dari sekian banyak kisah-kisah yang termuat dalam al-Qur’an, surah Yusuf diistimewakan dengan sebutan ahsana ‘l-qasas atau kisah terindah (surah Yusuf:3). Penamaan tersebut tentu ada justifikasinya. Ia adalah kisah paling lengkap dari segi liputannya. Pemerian tentang tokohnya (Yusuf `a.s.) menggenapi seluruh babak-babak penting sepanjang usia dari masa kanak-kanaknya hingga masa puncaknya ketika menjadi `Azizu Misr. Setiap babak dipaparkan secara terperinci - adegan-adegan dan dialog-dialognya.


Kisah Yusuf `a.s. adalah kisah yang paling sarat dengan mesej iktibar dan hikmah, di samping padat dengan nilai dan prinsip keilmuan yang cukup pelbagai: tauhid, fiqh, sirah, ta`bir mimpi, politik, ekonomi, pengurusan dan lain-lain. Demikian pula dari segi aktornya yang juga cukup pelbagai, mewakili makhluk dari pelbagai jenis, sektor dan golongan: manusia (lelaki dan perempuan), nabi, jin, syaitan, malaikat, haiwan, raja, peniaga, ilmuwan dan orang awam. Kisah terindah dengan segala babak dan adegannya itu membawa pesan induk: maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika kuat. Keindahan kisah Yusuf `a.s. dapat dinikmati dari segi gaya pengungkapan yang tepat dan padat, kata-kata yang singkat membawa makna yang luas, mendalam dan penuh hikmah. Juga dari segi olahan seni tentang pelbagai aspek kehidupan insani yang diungkapkan lewat paparan peristiwa-peristiwa nyata, tetapi sekaligus mengisyaratkan implikasi-implikasi kejiwaan-kerohanian: kasih ayah terhadap anak tersayang, kedengkian saudara-saudara kandung, derita batin orang tua yang kehilangan anak kesayangan, cinta, nafsu, fitnah, maruah, integriti moral dan lain-lain yang semuanya membawa pesan tentang kehidupan mulia dan bermaruah berasaskan nilai nilai taqwa dan kebenaran. Kisah ini menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra makhluk istimewa, lelaki paling kacak dengan daya pesona luar biasa sehingga wanita-wanita Mesir pengagumnya mengeksprasikannya lewat kata malakun karim (malaikat mulia). 

Tetapi mesej sebenarnya tidak sebatas keindahan fizikal lahiriah, tetapi lebih jauh daripada itu keindahan rohaniah yang disimbol dan dilambangkan dengan keindahan lahiriah itu. Surah Yusuf - Penawar Lara Tahun Duka Sebagai salah satu surah Makkaiyyah yang turun pada tahun kesepuluh bi`thah, tahun yang dicatat sebagai `am al-huzn atau tahun duka, surah Yusuf membawa nada tersendiri, sesuai dengan suasana murung ketika itu. Pada tahun tersebut Rasulullah s.`a.w. kehilangan dua orang pendamping utama dalam perjuangannya iaitu Abu Talib (bapa saudaranya) dan Sayyidatina Khadijah r.`a. (isteri tersayang). Kehilangan besar itu diikuti pula dengan bertambahnya keleluasaan penentangan ganas dan teror Quraysh terhadap Islam dan umatnya. Tidak seperti surah-surah Makkiyyah lainnya yang rata-rata bernada tegang dan kadang-kadang konfrontatif-kombatif, surah Yusuf lebih mengesankan rasa damai, tenang dan menyejukkan. 

Kisah Yusuf `a.s. memang kisah terindah (ahsana ‘l-qasas) yang cukup mengesankan kerana ia bukan karya fiksyen, cereka imaginasi seniman; tetapi peristiwa nyata dalam sejarah yang diungkapkan lewat wahyu Ilahi. Pengkisahan Qur’ani pada hakikatnya adalah pengungkapan sunnatu ‘Llah, hukum sejarah ketetapan Ilahi yang tidak berubah. Derita adalah bahagian daripada kehidupan Yusuf `a.s., pewaris martabat kenabian. Seolah-olah derita adalah harga yang harus dibayar untuk martabat mulia bernama nubuwwah. 

Demikianlah kehidupan yang dijalani oleh Yusuf `a.s., sebuah perjalanan hidup yang tidak putus-putus dirundung malang, mulai dari korban konspirasi kedengkian saudara-saudara sendiri yang mencampakkannya jauh ke pedalaman gaung perigi bagaikan sampah, dijual kepada pengembara bagaikan barangan murah, difitnah sebagai lelaki penggoda bermata keranjang dan akibatnya ia dipenjara sebagai banduan tak bermaruah. Tetapi kesudahannya, sikap tabah selalu membawa barakah, sabar menanggung musibah akan berakhir menuai tuah. Segalanya adalah rencana Ilahi untuk membina watak pejuang kebenaran di samping berkompetensi menempati posisi `Azizu Misr, orang kuat dan terhormat di Mesir. 

Surah Yusuf yang mengungkapkan hakikat pahitnya hidup berprinsip dan getirnya istiqamah dalam perjuangan demi kemuliaan hakiki, meniupkan angin segar dalam kehidupan Nabi s.`a.w. yang kebetulan sedang menjalani hari-hari duka. Dari kisah Yusuf `a.s. Junjungan mendapat kekuatan menghadapi keganasan bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan Abu Jahl. Ternyata junjungan s.`a.w. tidak sendirian mengalami nasib dianiaya oleh anggota keluarga sendiri, Nabi Yusuf `a.s. juga telah lebih dahulu menjadi mangsa penderaan angkara saudara-saudara kandungnya sendiri. Demikianlah kenyataan yang harus diterima bahawa yang namanya hasad, dengki, dendam, benci, angkuh dan lain-lain sejenisnya memang tidak mengenal mangsa, ia boleh berlaku terhadap siapa sahaja: saudara atau keluarga, kerabat atau sahabat. 

Junjungan s.`a.w. juga mendapat suntikan optimisme dan keyakinan baru bahawa apabila sampai masanya kegetiran yang sedang dialaminnya akan berlalu dan berkesudahan dengan kejayaan. Demikianlah sebuah surah penawar duka, pengubat derita. Penurunannya pada tahun murung `am al-huzn sungguh amat bererti. Ia terasa sebagai siraman kasih Ilahi yang menyejukkan dan pancaran cahaya yang menyinarkan harapan. Pakej Penyelamat Ekonomi Mesir Menerusi perjalanan hidup hamba-Nya Yusuf al-Siddiq `a.s. Tuhan menyerlahkan kekuasaan-Nya merubah nasib seseorang - dari penjara ke tampuk kuasa, melalui proses yang di luar perkiraan politik manusia. Segalanya bermula dengan mimpi raja yang tidak ditanggapi secara serius oleh para pembesar di sekelilingnya. Mereka hanya menganggapnya sebagai adghathu ahlam, mimpi karut yang membingungkan. Tetapi rupa-rupanya mimpi itulah yang menjadi titik mula rangkaian peristiwa yang akhirnya menampilkan Yusuf `a.s. di pentas dunia, menghadirkannya di panggung sejarah, dan lebih daripada itu mengabadikan namanya dalam kitab mulia wahyu Ilahi sebagai tokoh misali, wira Qur’ani ahsana ‘l-qasas, kisah terindah. Kisah bagaimana berlakunya perubahan nasib dari penjara ke tampuk kuasa itu terpapar indah dalam surah Yusuf ayat 43-57 (lihat lampiran). Mimpi tersebut tampaknya cukup meresahkan raja, tetapi tidak seorang pun dari kalangan pembesar-pembesar negeri yang tahu tentang mimpi. Mereka juga tampaknya tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap risiko pemaknaan mimpi (salah benarnya) dan langkah-langkah susulannya. 

Menerusi usaha seorang pembantunya yang dahulu pernah berkenalan dengan Yusuf `a.s. sewaktu sama-sama di penjara akhirnya raja mendapat ta`bir dan makna yang cukup meyakinkan tentang mimpinya dari Yusuf `a.s., malah yang diberikan bukan cuma makna tetapi juga saranan langkah-langkah yang harus diambil. Memang wajar jika raja ingin sekali bertemu dengan orang yang berjasa menta`birkan mimpinya, bahkan bukan hanya ingin bertemu, ia juga ingin menyerahkan tugas pelaksanaan langkah-langkah mengatasi krisis ekonomi yang diramalkan akan berlaku. Baginya tidak ada orang lain lagi. Orang yang tahu menta`bir mimpinya dan tahu pula langkah-langkah susulannya, dialah yang paling layak melaksanakannya kerana hanya dia yang memahaminya, yang punya wawasan, punya konsep, punya formula dan punya strategi. Untuk itu diperintahkannya agar Yusuf `a.s. dikeluarkan dari penjara dan langsung dibawa ke istana. Demikian sikap raja, lalu bagaimana pula pendirian Yusuf `a.s.? Di sinilah terserlahnya kebesaran jiwa dan keagungan peribadi Yusuf `a.s., nabi da`i-murabbi yang mendapat kurnia hukman wa ` ilman, kebijaksanaan dan keilmuan dari Tuhan. Dengan ikhlas beliau telah memberikan khidmat tafsiran mimpi dan saranan langkah-langkah menghadapi musim kegawatan ekonomi, khidmat yang diberikan tanpa syarat. Sekalipun dirinya sendiri teraniaya dalam penjara gara-gara fitnah jahat, tetapi beliau tetap siap menyumbangkan khidmat demi tanggungjawab kemanusiaan. Beliau tidak mengambil kesempatan menjadikan kepakarannya menta`bir mimpi sebagai kekuatan tawar-menawar bagi mendapatkan pembebasan, walhal beliau tahu bahawa kepakarannya sangat diperlukan. 

Sekali lagi Yusuf `a.s. mengambil sikap yang mencengangkan semua orang ketika perintah pembebasan disampaikan kepadanya. Nabi Allah itu tidak mahu keluar dari penjara, sebaliknya beliau meminta utusan raja itu pulang untuk menanyakan kepada rajanya tentang wanita-wanita yang memfitnahkan dahulu. Maksudnya Yusuf `a.s. hanya akan keluar dari penjara setelah namanya dibersihkan. Baginya yang penting bukan keluar penjara, tetapi pemulihan maruah dan kehormatannya. Tidak ada gunanya kebebasan tanpa kehormatan. Apa lagi apabila nanti beliau melaksanakan tugas mengurus ekonomi negara, tanpa integriti moral yang tinggi tugas tersebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Yusuf `a.s. perlu mendapat kepercayaan dari semua pihak, kerana beliau amat menyedari bahawa tahap tahap kepercayaan yang rendah (low trust) akan menjadi kendala kelancaran tugas. 

Yusuf `a.s. Berjaya memperjuangkan pemulihan maruah dan kehormatan dirinya apabila wanita-wanita yang memfitnahnya dahulu membuat pengakuan bahawa beliau tidak bersalah. Isteri al-`Aziz sendiri mengaku beliaulah yang telah menggoda Yusuf `a.s., bukan sebaliknya. Hanya setelah itu Yusuf `a.s. keluar meninggalkan penjara untuk menyanggupi tugas mengurus ekonomi negara yang sedang diancam krisis gawat, dengan mendapat dukungan dan kepercayaan penuh raja yang memberinya kedudukan makinun amin, kukuh dan terpercaya. Nabi Yusuf `a.s. tidak tampil dengan citra hamba setia yang siap menjunjung titah, tetapi dengan kewibawaan peribadi termasuk kridential kelayakan hafizun `alim, pengurusan yang kompeten dan berkesan serta ilmu yang relevan, cukup layak mengendalikan portfolio khazanah negara khususnya ekonomi pertanian. 

Rancangan ekonomi empat belas tahunnya ternyata berjaya menyelamatkan rakyat Mesir dari landaan krisis ekonomi akibat kemarau panjang. Kejayaan tersebut antara lain kerana kebijaksanaan dasar ekonomi yang berasaskan keseimbangan pelaburan, perbelanjaan dan penabungan; di samping pelaksanaannya yang cekap dan berkesan. Nabi Yusuf `a.s. sendiri turun padang melakukan pemantauan dari dekat dan secara langsung (yatabawwa’u minha haythu yasha’). Demikianlah terlaksananya sebuah model pakej ekonomi penyelamat yang meliputi kebijaksanaan perancangan, kewibawaan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaannya. Ternyata, model pembangunan ekonomi yang dipromosikan oleh Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya bersifat kuantitatif dan kebendaan. Ia juga berdimensi kemanusiaan yang kental dengan nilai-nilai moral dan sosial. Dengan kata lain, ia mungkin dapat disebut sebagai dasar ekonomi rahmatan li ‘l-`alamin, ekonomi yang merahmati umat sejagat, bukan ekonomi kapitalistik yang rakus dan mementingkan diri. 

Dimensi kemanusiaan ini tampak jelas apabila daerah-daerah sekitar Mesir yang juga ditimpa musibah kelaparan turut mendapat limpahan bantuan ekonomi (bahan makanan) dari `Azizu Misr Yusuf (`a.s.). Mereka berdatangan ke Mesir setelah tersebarnya berita bahawa ekonomi negara itu stabil dan mampu melaksanakan skim bantuan kemanusiaan. 

Ternyata Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya berfikir dalam konteks ekonomi nasional, tetapi juga ekonomi regional, malah telah meletakkan asas-asas penting pembinaan order ekonomi global yang yang kukuh dan manusiawi. Nabi Yusuf `a.s. telah meninggalkan legacy moral kemanusiaan yang cukup inspiring: bahawa pada saat paling susah, masih ada sifat pemurah; bahawa ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian. 

Penutup 

Demikianlah sebahagian daripada sorotan terhadap ahsana ‘l-qasas yang menampilkan kisah Sayyidina Yusuf al-Siddiq `a.s., nabi-da’i-murabbi multi dimesi dengan kepakaran yang pelbagai, dari penta`bir mimpi hingga ahli ekonomi. Yang jelas apa pun bidang keahliannya, profesi apa pun kerjayanya, tidak pernah walau sesaat Yusuf `a.s. melupakan misi asasinya: dakwah dan tarbiah membina ummah.

MURABBI ATAU SELEBRITI?

Lepas subuh tadi, sempat saya belek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas. "Penyakit para daei", itulah tajuk yang sangat menyentuh hati saya.Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi "pendengar". Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.

Itu akan menjadikan hatinya keras, dalam kelembutan dakwah secara lisan atau tulisannya. Menjadi akalnya dan pemikirannya tumpul justeru ilmunya seputar itu-itu juga.Benar-benar saya terkesima. Pengalaman memberitahu bahawa "hati kecil" sentiasa mengingatkan bahawa pendakwah bukan lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Ilmu, kata-kata dan tulisaannya bukan komoditi niaga yang asyik dipromosi untuk mempopularkan diri. Hingga kekadang tanpa sedar, manusia ditarik bukan lagi kepada Ilahi, tetapi kepada diri sendiri.

Malang, bila pendakwah jadi "peniaga" yang menjaja bahan dakwah dan tarbiah mengikut selera massa. Dan kejayaan diukur oleh gelak getawa dan puji-puja masyarakat atas keterampilan kata dan gaya. Persis seorang selebiti! Mereka tidak lagi berdiri teguh sebagai karang di dasar lautan yang teguh bagaikan "doktor" memberi kepada ummah apa yang menyembuhkan walaupun terpaksa bergelut dengan kepahitan.

Bukan marahkan sesiapa, tetapi sekadar mengingatkan diri. Mengapa dalam arus ilmu dan maklumat, ceramah dan kuliah, masyarakat sangat kurang berubah? Mengapa jenayah semakin marak? Apakah dakwah kita sudah semakin tawar? Apakah tarbiah kita semakin hambar? Fikir-fikirkanlah. Kata yang datang dari hati... pasti jatuh ke hati. Bukan soal kecerdasan dan gaya, tetapi soal keikhlasan, hikmah dan taqwa.

Mengenangkan itu, teringat saya pada tulisan sendiri pada musim-musim yang lalu. Saya ingin berkongsi semula dengan saudara/i apa yang pernah saya luahkan dalam tulisan bertajuk...

KAU MURABI BUKAN SELEBRITI!
Leaders are learners – pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin – when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri.

Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long – orang tua kampung saya pada minggu yang lalu."Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?" tanya Pak Long pada satu hari.
Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan."Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu... betul-betul sudah kau amalkan?"Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati... malah saya takuti (kadang-kadang).

Namun begitu, Pak Longlah tempat saya 'ziarah' apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah 'guru' saya.

"Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan.""Jangan hanya berharap, berusaha!" pintas Pak Long."Insya-Allah," jawab saya pendek.

"Bagus tu. Jangan menulis 'diri' sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang 'orang lain'. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri."

Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini."Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang 'aku'nya.""Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih 'real' daripada apa yang dialami orang lain.""Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan.""Kenapa Pak Long?""Sebab, kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri.""Kenapa Pak Long?"Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.

"Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci... muhasabahlah diri masing-masing."
"Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?"
"Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya 'lebih sempurna' sedikit daripada golongan yang diserunya."
"Kalau tidak?"
"Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani... tidak seperti yang mereka harapkan."
"Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti 'bahan' dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!"

"Hujah lama," balas Pak Long.
"Tapi masih relevan... Pak Long," saya seakan merayu.
"Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana... Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?"

Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu 'melawan'. Pak Long bukan guru – kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang 'demokratik' – prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.

"Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa kelohannya?"
"Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim..."
"Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib...siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?"
"Islam Pak Long," saya akur. Tunduk.

"Ya, itulah maksud Pak Long... pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. "
"Terimakasih Pak Long... selalu-selalulah ingatkan saya."
"Ingat pesanan Pak Long ni... pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!"
(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih 'menikam' saya!)

Di ambil dari laman sesawang : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2178.html
Light Green Pointer