UCAPAN
DASAR PENGERUSI SISWAZAH MUDA ABIM SABAH SEMPENA MUKTAMAR SANAWI
KALI KE-2
(2012/2013)
TEMA : PEMUDA DAN KEPEMUDAAN-TONGGAK PEMERKASAAN
AL-MUFLIHUN
OLEH : MOHD KAMALUYASIR BIN MANSOR
PENGERUSI SISMA SABAH SESI 2011/2012
21 JUN 2012 / 1 SYAABAN 1433 HIJRAH
Bissmillahirrahmanirrahim
Yang Dihormati Saudara Pengerusi
Yang Berusaha Timbalan Yang Dipertua Abim Negeri Sabah,
Saudara Mohd Zikri Bin Haji Zainuddin
Yang Saya Kasihi Barisan Kepimpinan SISMA Sesi 2012/2013
Ahli-Ahli Seangkatan Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA)
Para Tetamu Undangan
Para Muktamirin Dan Muktamirat Sekalian
Kami dahului ucapan
ini dengan kalimat suci tahmid al-hamdu li’illah kerana dengan pernyatan rasa
syukur yang paling tulus atas izin dan perkenan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa
untuk kita melangsungkan Muktamar Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) untuk kali
kedua. Dengan semangat ukhuwwah yang hangat, dengan rasa muhibbah yang mendasar
kami sambut kedatangan muktamirin-muktamirat-para undangan, perwakilan, sahabat
dan kerabat SISMA dari seluruh negeri Sabah tercinta. Semoga penyertaan anda
akan menjadikan Muktamar ini berkesan dan bermakna. Ahlan Wa Sahlan- Selamat
datang dan selamat bersidang.
FAHAM AGAMA, KEADILAN DAN ILMU
Agama
itu berasas pada Tanzil daripada tuhan kepada insan yang dilangsungkan dengan
perantaraan wahyu yang diturunkan oleh-Nya kepada nabi atau rasul-Nya
(Muhammad) bagi anutan setiap manusia (Al-Attas, 1931). Daripada pengakuan ini,
maka kita ikrarkan bahawa agama Islam itu bukan teori, bukan hasil renungan
para bijaksanan dan failasuf, bukan hasil renungan insan, bukan hasil ciptaan
insan sebagaimana kebudayaan itu hasil usaha dan daya cipta dalam menghadapi
keadaan sekeliling.
Agama bukanlah Cuma
pandangan peribadi
Yang dipintal di
jari, sesuka hati
Agama bukan
perangkap kelahiran, tanpa pilihan
Yang dipaksa pada
diri, belenggu nan melemaskan
(Wan Muhammad Nor, Pelbagai Cahaya)
Dalam
tradisi Islam perkataan tarbiyah, ta’alim
dan ta’adib yang bererti pendidikan, pembelajaran dan pembentukan budi
pekerti, telah digunakan sejak awal lagi. Sebenarnya penggunaan ketiga-tiga
istilah bahasa Arab tersebut sekali gus menggambarkan bahawa pendidikan Islam
merangkumi ketiga-tiga dimensi penting dalam kehidupan manusia iaitu
pembentukan jasmani, pembentukan intelektual dan pembentukan rohani. Hai ini
ditentukan oleh pandangan hidup Islam atau Islamic
World-View. Namun demikian, dasar-dasar umum tersebut perlu dikembang dan
dianalisis untuk menjadikannya suatu sistem yang konkrit dan nyata. Usaha
pengembangan dan penganalisian itu sesungguhnya memerlukan kemampuan intelek
yang tinggi di mana ia adalah ciri penting kepemudaan yang perlu ada pada kader
SISMA. Kepentingan kefahaman terhadap agama itu menjadi kunci keberdayaan
penggerak SISMA dalam mendepani hari-hari sebagai seorang daie. Hal ini berkait
terus antara hubungan kita dengan Rabbul Jalil, hubungan sesama manusia dan
hubungan antara alam.
Tanpa
ilmu pengetahuan manusia tidak dapat membangunkan tamadun, ilmu adalah rukun
utama membangunkan tamadun insaniah yang sihat. Jatuh bangunnya sesuatu tamadun
banyak berpunca darpada faktor ilmu yang terdapat dalam tamadun tersebut. SISMA
yang menekankan budaya ilmu haruslah menjadi pemangkin dan pendorong terhadap
usaha dan idealisme perjuangan hakiki demi menegakkan agama Allah di bumi Sabah
ini. Rata-rata masyarakat pendalaman yang kehausan asas-asas ilmu agama
mengharapkan kita bagi mengisi sedikit kekosongan di dadanya. Biar ramai antara
kita yang bukan berlatar belakangkan pendidikan khususnya agama, ahli SISMA
sepatutnya menjadi daie multi-knowledge iaitu pendakwah yang menguasai segenap aspek
bidang tertentu. Dalam menerangkan asal usul tamadun manusia, kitab suci
al-Quran menerangkan bahawa sebelum manusia pertama, iaitu nabi Adam a.s,
memulakan kehidupan di muka bumi bersama-sama isteri, terlebih dahulu telah
diajarkan “nama-nama segala benda”. Firman Allah :
Dan Dia ajarkan
kepada anak Adam nama-nama (benda-benda) semuanya, kemudian dia perlihatkan
kepada para malaikat, seraya berfirman, “sebutlah kepada-Ku nama semua (benda)
ini, jika kamu yang benar!” Al-Baqarah (2:31)
Sejarah
ini membuktikan peranan seorang daie yang dan disebarkan semasa turun di
lapangan dakwah yang sebenar. Islam
menitikberatkan konsep ilmu yang berakar umbi. Ilmu yang beraraskan
wajyu ini diumpamakan di dalam al-Quran sebagai cahaya (Nur) yang bukan sahaja
menyinari hati sanubari pemiliknya bahkan seluruh alam. Sabda Ar-Rasul :
Seluruh isi langit
dan bumi memohonkan ampun bagi orang yang berilmu. “ Menurut sebuah hadis lagi. “Sesungguhnya malaikat melindungkan sayapnya
bagi orang yang mencari ilmu kerana senang hati melihat kerjanya. “
(Riwayat Ahmad Ibn Hanbal)
Menurut
Al-Attas, ilmu sains dan teknologi itu umpaman pisau iaitu alat yang berguna
untuk manusia terutama pengendalian kerja-kerja dapur, membantu untuk memotong
dan mengukir. Andai kata pencuri datang ke rumah, pisau itu juga lah yang
digunakan untuk membunuh tuan punya pisau.
‘senjata makan tuan’. Ini menggambarkan betapa ilmu itu penting dimiliki
oleh orang yang baik lebih-lebih lagi yang punyai citra agama supaya ilmu dapat
digunakan pada landasan kebenaran.
Tidak
kurang ilmu agama yang sememangnya menjadi dasar hidup seorang daie. Pada
pandangan Islam manusia yang baik ini ialah manusia yang insaf akan
tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak. Manusia yang dalam serba serbi
tingkah lakunya sentiasa mengaush dirinya kearah kesempurnaan sebagai insan
abadi.
Faham
agama dalam Islam itu punyai pertalian yang erat dengan faham keadilan. Dalam
persepsi barat, keadilan adalah suatu perkara yang berlangsung antara dua pihak
yang merujuk kepada nagara dan masyarakat, iaitu antara seorang dengan orang
lain, antara rakyat dengan raja, antara rakyat dengan pemimpin. Oleh itu bagi
mereka kezaliman adalah sesuatu yang berkisar antara dua pihak itu juga.
Aristotle pernah menyatakan bahawa keadilan tidak boleh berlaku pada diri
sendiri kerana itu dikira sebagai kezaliman terhadap negara keran telah
menidakkan bagi negaranya tugas dan khidmat serta tanggungjawab terhadap
masyarakat dan negara. Pandangan ini berbeza sekali dengan pandangan Islam yang
menekankan keadilan pada diri sendiri dan kezaliman juga boleh berlaku pada
diri sendiri, firman Allah :
Mereka berkata. “
Wahai tuhan kami! – kami telah menzalimi diri kami, dan jika tiada Kau ampuni
kami, dan cucuri Rahmat-Mu kepada kami, justeru sesungguhnya kami ini akan
tergolong dalam yang rugi” Al-A’raf (7:23)
SISMA
dibawah ABIM yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan seharusnya faham konsep
serta mampu membezakan sesuatu perkara yang cenderung kepada kebenaran ataupun
kebatilan berdasarkan rujukan sumber dan nas-nas yang sahih. Kezaliman yang
kian menular dalam kalangan pemimpin atasan mahupun bawahan tidak dapat dikesan
oleh masyarakat kerana dikaburi oleh kesenangan sementara serta janji-janji
kosong bagi menjaga kepentingan peribadi. Korupsi, kroni dan rasuah seperti
sudah menjadi makanan harian mereka. Ada juga sebahagian ahli gerakan yang ikut
‘terkabur’ dengan keselesaan yang sementara, tidak terkecuali mereka yang
terlampau taksub dengan idealogi dan fahaman yang bibawa oleh sesuatu pasti
meskipun ia dilihat cenderung ke arah kebenaran. Konsep kesederhanaan dalam
Islam sepatutnya menjadi peribadi dalam setiap tindakan dan perbuatan, bukannya
berani-berani nyamuk yang jelas bodoh
dan tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu tindakan. Harakah yang
dilihat sebagai kuasa perubahan ketiga kini kian panas menjadi tumpuan mereka
yang tidak mahu ditumbangkan. Sedikit kesilapan yang kita lakukan akan menjadi
fitnah yang besar kepada jamaah malah Islam seluruhnya. Perkiraan, serta
analisi yang perinci haruslah menjadi sandaran sebelum melakukan sesuatu
tindakan oleh ahli SISMA kerana ia bukan sahaja melibatkan peribadi
semata-mata, malah Islam turut tercela.
PRINSIP DAN ADAB DALAM GERAKAN
Kefahaman, aplikasi dan
penghayatan terhadap 5 prinsip utama gerakan amat penting untuk setiap kader
SISMA, 5 prinsip itu adalah gerakan berteraskan kerohanian, kejelasan
fikrah-prinsip wasatiyyah, amar makruf nahi mungkar, aktivisme, intelektualisme
dan kebajikan kepada umum. Dalam gerakan juga diperkenalkan madrasah tarbiyah
yang wajib hararkiy terhadap semua kader dakwah seperti tamrin dan usrah.
Dalam perjuangan Islam yang
penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati
serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu
sendiri yang mesti diterima pakai serat diperjuangkan oleh penganutnya seperti
yang dicontohkan oleh Baginda Ar-Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang
kita anuti ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara
kita yang terdahulu pergi meninggalkan kita. insyaAllah, usaha-usaha bagi
memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan iiqh al-hadharah
sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ahli SISMA. Peranan fiqh
al-hadharah pula dapat mengatasi kejahialn ummat dan sikap fanatik kepada
sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah
kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran islam itu
sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah,
masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam dituruankan
kepada ummat manusia, ‘ Rahmatan Lil ‘ alamin’.
Usrah yang menjadi tunjang
tarbiyah SISMA mempunyai tujuan dan peranan yang besar terhadap ahli-ahli
gerakan. Usrah berasal dari perkataan Arab yang bererti keluarha. Dalam kontek
harakah ia bererti keluarga yang wujud oleh pertalian akidah, idealisme
perjuangan, kesedaran tentang persamaan nasib serta keazaman untuk mengorak
langkah yang selaras menumpaskan halangan-halangan dari dalam dan luar diri
untuk meningkatkan jiwa insan lealam tinggi dan mendekati kesempurnaan. Usrah
bukanlah semata-mata suatu pertemuan yang diadakan sebagai medan perbincangan
ilmu atau peringatan. Firman Allah SWT :
“ Hai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan janganlah
melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (menganggu) binatang-binatang
had-Nya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan pula menganggu orang-orang
yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari
Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji maka bolehnlah
berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian (mu) kepada sesuatu kaum kerana
mereka menghalangi-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorong mu berbuat
aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan)
kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam membuat berbuat dosa dan
pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat
siksaanya. “ Al-Ma’idah (5:2)
Usrah
adalah medan yang hidup untuk ahli-ahli SISMA bekerjasama untuk melaksanakan
dan menghayati Islam. Ia mengikat diantara satu sama lain dengan ukhuwwah dam
saling tolong-menolong dan boleh dipimpin melalui usrah ini. Melalui 3 rukun
usrah iaitu ta’aruf, tafahum dan tajaful, sepatutnya ia menjadi panduan dalam
menjaga ukhuwwah fillah antara ahli dan bukan hanya omongan kosong tanpa hasil.
Rasa rendah hati, berjiwa besar serta meraikan kelainan dan telatah sahabat
adalah sifat yang perlu ada pada setiap ahli bagi menjaga hubungan demi Allah.
Sifat pentingkan diri sendiri mesti dikikis sebelum ia terus merenggangkan
jurang antara ahli SISMA. Saudara-saudari mestilah berusaha bersungguh-sungguh
supaya tidak ada apa-apa yang boleh mengeruhkan perhubungan ukhuwwah itu.
Firman Allah :
“Sesungguhnya
orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua
saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. “ Al-Hujurat (49:10)
Semangat
bertindak secara berjamaah juga menjadi tuntutan. Tanpa tindakan secara jama’i,
gerakan Islam menjadi huru-hara dan tidak dapat menjalankan peranannya dengan
baik. Amal jama’i hendaklah diamalkan disetiap peringkat tugasan bertepatan
dengan budaya kepimpinan ABIM A to Z
Leadership. Perancangan kerja boleh dibuat kalangan ahli dalam
pertemuan-pertemuan usrah dan musyawarah. Allah SWT berfirman :
“ Sesungguhnya
Allah menyukai orang0orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang
teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. “ Ash-Shaff (61:4)
Islam yang melambangkan
keindahan adab, budi pekerti dan akhlak islami mestilah menjadi amalan
penganutnya terutama ahli harakah yang sering menjadi tumpuan dan rujukan tidak
kurang menjadi bahan fitnah oleh musuh Islam. Ikhtilat dalam pergerakan Islam
adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap orang yang
terlibat secara langsung dalam pergerakan Islam tidak kira siapa dan apa pun
jawatan dia. Perkataan ikhtilat itu pada adatnya bermaksud pergaulan. Di dalam
konteks Islam, ikhtilat boleh diertikan sebagai suatu bentuk pergaulan secara
bebas yang melibatkan lelaki dan wanita ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk
pergaulan yang ditegah oleh Islam dan sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat
boleh membuka ruang kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita
sedari termasuklah mereka yang berkecimpung dalam pergerakan Islam sendiri.
SISMA juga didedahkan bahawa rukun yang perlu diketahui dalam harakah adalah
taaruf. Akan tetapi, apa yang membimbangkan adalah perhubungan yang dimulakan
atas dasar taaruf tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi dan bukan
perkongsian ilmu serta kepakaran, maka tenggelamlah konsep “ kerja tetap kerja, peribadi adalah peribadi ”. ada juga,
kononya beralasan hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Apa
yang lebih menakutkan adalah perhubungan tersebut menjadi barah “ cinta “
walaupun pada zahirnya seakan-akan kita melihat mereka saling mengambil berat.
Perkara ini, seolah-olah mencari keredhaan Allah, sedangkan mereka sudah
terjerumus dalam kemurkaan Allah. Kerana itulah kita perlu memahami konsep
sebenar dalam bekerja kerana Allah dan batas pergaulan dalam bekerja seperti
menjaga pandangan, mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sentiasa
menunjukkan hati. Firman Allah :
“ Katakanlah kepada
orang laki-laki yang beriman. Hendaklah mereka menahan pandangannya &
memelihara kemaluannya yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat, Katakanlah kepada
wanita yang beriman. Hendaklah mereka menahan pandangannya & kemaluannya. “ An-Nuur (24:30-31)
Sabda Ar-Rasul
“ Sesungguhnya
sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi
telanjang yang condong pada maksiat & menarik orang lain untuk melakukan
maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga & tidak akan mencium baunya “ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Penuhilah
syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kitam bahkan demi kebaikan bersama,
kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya yang taat; kita manusia
biasa yang dikurniakan nafsu dan cinta. Allah menciptakan rasa cinta dan nafsu
bersama-sama dengan batas pergaulan buat hamba-hamba Nya kerana Dia tahu apa
kelemahan dan kekuatan yang terletak tiap pada ciptaan-Nya. Sabda Rasullullah
s.a.w :
“ Barangsiapa
meninggalkan yang haram maka ia akan memperolehinya ketika ia sudah menjadi
halal. “
MEHNAH PEMUDA
Seekor anak Helang
Meminta izin
bapaknya mahu terbang
Ke lain padang
Melatih sayap mengembang
Mencari pengalaman
Menajam pandangan.
Tapi pada bapaknya
menyata bimbang
Akan cabaran sengit
bakal mendatang
Tentang kemungkinan
hilang
Jalan pulang
Mengkhianati
bangsa, menjadi petualang.
Bapaknya helang
memberi pesan seorang guru:
“Silalah anakku
sifatmu helang harus mendalami ilmu
Tapi ingatlah
segala ajaranku kepadamu selalu
Kerangka dan dasar
pengetahuan dalam dadamu itu
Sungguhlah benar,
jangan kau curiga dan ragu
Perhalusi lagi, dan
bandingkan dengan yang lain itu”.
“Harus sentiasa
sedar harga diri dan peranan sejati
Tiada guna jika
gagak berjuta, musuh bangsa, memuji tinggi
Walau bangsamu
jumlahnya kecil, peranannya tersangat suci
Itu amanah kita
dari azali, pilihan maknawi.”
Anak helang terbang
jauh melihat alam pelbagai ragam
Singgah di suatu
padang melihat gagak galak berkawan
Ramainya bukan
kepalang, hitamnya menawan
Langit nan terang
di waktu siang dipergelapkan
Bisingnya menguasai
padang dan segala hutan
Sampah dan bangkai
mencerminkan kelazatan.
Si anak helang
menumpang gagak mengisi dada
Raja gagak melihat
kemungkinan besar tiada tara
Jika berjaya
menggagakkan helang mencari kuasa
Menumpas helang
sebagai burung perkasa di muka dunia.
Selagi helang
mengenal dirinya selagi itulah gagak semua
Gagal merebut
takhta kerajaan burung segala.
“Jika si anak
helang itu dapat digagakkan kita
Dia akan
dipulangkan pada bangsanya
Dan berperanglah
untuk kita.
Jika helang tidak
lagi terbang tinggi di puncak sana
Jika matanya
ditumpulkan seperti kita
Jika makanannya
dibiasakan sampah, bangkai dan sisa
Dia akan menafikan
bapak sendiri, tidak mengenali bangsa
Akan meruntuhkan
sarang bangsanya; tak terdaya kita.”
Memang setelah
bertahun berguru pada gagak semua
Bulunya
dihitam-kilatkan menyilau mata, untuk diterima
Lagunya semeriah,
sebising, senyaring burung pensisa.
“Menangkap rezeki
penuh risiko di dada angkasa,
Merugi masa, dan
tenaga”, katanya.
“Lebih mudah
mencuri sisa di tong sampah saja”.
Sekian lama
berguru, ia dinobat wira nan perkasa
Diutus pulang ke
padang asalnya memikul cita
Merubah helang mengikut
millah gagak belaka.
Pulanglah helang
bertemu ayahnya guru awali
Ayahnya melihat
terbangnya tidak menghelang lagi
Suaranya bukan lagi
menyanyi lagu asli
Tapi lagu baru yang
tidak pernah didengari
Sepanjang sejarah
helang tidak didendangi.
Sepanjang zaman
bangsaku melihat tajam perubahan
Insan kehilangan
diri setelah lama berjauhan
Kejauhan zahir
terlihat pada jarak zaman dan ruang
Kejauhan batin
terbukti pada akhlak ang pincang
Terpapar dalam
Kisah si Tenggang dan Malim Kundang
Dalam perubahan jiwa
jutaan cendekiawan malang.
Anak helang
kehilangan diri, disanjung gagak di luar negeri:
Pulang ke sarang
asli berbulu hitam, suara nyaring ngeri
Menghalau keluarga
sendiri, menganggap jahil guru awali
Ajaran Nabi dan
pewaris tradisi disifat tiada sesuai lagi
Bagi meniti arus
pluralisme dan cabaran globalisasi.
- Petikan dari
“Dalam Terang”
Prof Dr Wan Mohd
Nor Wan Daud
SISMA, PEMUDA DAN KEPEMUDAAN
SISMA yang didokong
oleh pemuda pemudi wajib memiliki ciri-ciri kepemudaan yang sering dinukilkan
di dalam coretan-coretan sejarah kegemilangan sesuatu bangsa. Aktivisme,
idealisme dan sentiviti terhadap isu-isu semasa adalah antara elemen-elemen
unggul yang perlu disuburkan menjadi fakulti di dalam diri seorang pemuda.
Pemuda merupakan aset penting bagi agama, bangsa dan negara. Hal ini disebabkan
keupayaan mereka menggarap segala kemampuan yang ada dan mampu membawa sohwah
(kebangkitan) yang dicita-citakan. Seperti pada awal kalam tadi, telah kita
gambarkan serna sedikit pemuda al-Kahfi yang merupakan contoh terbaik pemuda
yang ber’kepemuda’an. Pemuda yang sanggup menegakkan kebenaran kerana memahami
erti sebenar perjuangan tanpa ada syak dan kecelaruan identiti.
Prof Dr. Haji Abdul Malik Abdul
Karim Amrullah (HAMKA) menulis dalam bukunya Lembaga Budi, “ Sememangnya
generasi muda merupakan generasi terbaik untuk mengalami proses pembentukan
mental, pembangunan sahsiah, dan ketangkasan fizikal. Mereka memiliki potensi
yang pelbagai dan kejayaan yang boleh menyumbang ke arah pembangunan sumber
yang berkualiti ”.
Menelusuri sejarah kegemilangan
Islam, peranan orang muda begitu signifikan kepada perjuangan dakwah
Rasullullah s.a.w. Ramai dalam kalangan orang yang mula-mula memeluk Islam
“assabiqul awwalun” terdiri dalam kalangan golongan pemuda dan Remaja seperti Ali
bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas dan sebagainya. Selain itu, kehebatan pemuda
Islam seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Tariq bin Ziad, dan
ramai lagi. Justeru itu, tidak dinafikan lagi sumbangan generasi muda dalam
menyebarkan syiar Islam telah memberi impak besar terhadap momentum survival
Islam sama ada melalui duta dakwah Nabi ke negara-negara Arab mahupun jihad.
Namun, di mana silapnya kita
pada hari ini? Fenomena lesu, buntu dan tidak bermaya umpama mayat tidak
bernyawa. Dada kosong tidak punya citra, jiwa santai dan mati rasa. Fenomena
ini kain menyelubungi para da’ie kita, dakwah dan usrah kian longgar, urusan
jamaah tidak lagi menjadi keutamaan, ramai yang telah gugur di persimpangan
jalan, daya tarikan kian pudar, semangat kian luntur, nikmat ibadah, ukhuwwah
dan mujahiddah sudah tidak meresap sampai ke jiwa, kurang muhasabah menjadikan
gerakan kita tumpul dan tidak bermaya. Namun sesungguhnya, kami percaya setiap
permasalahan, ada jawapannya, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Firman Allah :
“ Dan Kami turunkan
dari Al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman,
sedangkan bagi orang yang zalim Al-Quran itu hanya akan menambah kerugian ”
Al-Isra’ (17:83)
Kits tidak terlalu bersifat
nostalgik. Lalu kita masih lagi tidak lekang menceritakan tentang keunggulan
Islam di zaman kemunculan di Andalusia, kota lagenda 1001 malam Baghdad, Pulau
Sicily di Selatan Italy, Constantinople di zaman Sultan Muhammad bin Murad
Al-Fateh, Palestin dibawah genggaman Solahuddin al-Ayyubi, dan sebagainya. Kita
tidak boleh lagi terlalu berbangga dengan kebijaksanaan Ibnu Sina, kepintaran
Omar Khayyam, ketinggian akal Ibnu Nafis, kecerdikan al-Ghazali atau sesiapa
sahaja. Ya, tidak salah hal ini diungkapkan untuk mengimbau kekuatan lampau
dengan tujuan memercikan semangat kesedaran dan keinsafan, tetapi hal ini
janganlah terlalu bersifat retorik dan nostalgika sehingga melupakan kita
daripada matlamat perjuangan yang ada di hadapan mata sekarang. Pemuda mesti
mencipta sejarah, menjiwai nilai kepemudaan itulah kuncinya. Kata pujangga
“
Bukan seorang pemuda yang asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau
datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku “
WASALAM....
BIBLIOGRAFI
Prof.
Abdullah Hassan. 2002. Komunikasi untuk Pendakwah. PTS Publication SDN BHD.
ISBN 983-2311- 46-2
Syed
Muhammad Naquib Al-Attas. 2001. Risalah untuk Kaum Muslimin. Institut Antarabangsa Pemikiran dan
Tamadun Islam. ISBN 983-9379-18-6
Ismail
Abdul Rahman dan Mohd Nasir Omar. 1991. Islam, Cabaran dan Isu Semasa. Dewan
Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-2186-7
Wan
Muhammad Nor Wan Daud. 2004. Dalam Terang. Tradisi Ilmu SDN BHD. ISBN
967-940-089-1
Buku
Panduan Program Usrah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Prof.
Dr, Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah. Lembaga Budi