Alhamdulillah, Program Kami Prihatin yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah di bawah Exco Jabatan Pembangunan Insan dengan kerjasama Siswazah Muda Abim Sabah (SISMA) telah berjaya dijalankan dengan jayanya bertempat di Rumah Putera Harapan,Ranau,Sabah pada 12-14 Ogos 2011 yang lalu.
Menariknya,program kali ini bukan sahaja melibatkan para mahasiswa dan mahasiswi tetapi juga para pelajar sekolah menengah. Program ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah khususnya pelajar dengan mahasiswa/i. Pada masa yang sama juga dapat memberikan sedikit galakan dan didikan sebelum memasuki alam universiti serta merintis kearah melahirkan para pelajar yang aktif terhadap aktiviti kemasyarakatan. Bukan itu sahaja,Program Kami Prihatin ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada para belia untuk merasai pengalaman berpuasa bersama dengan anak yatim dan anak-anak yang kurang berkemampuan. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang telah diatur dalam program ini bermatlamat untuk mendidik para penghuni dari segi akademik,sahsiah dan ibadah.
12 Ogos 2011
Selepas menunaikan solat Jumaat,para fasilitator berkumpul di Anjung Siswa UMS. Sekitar jam 2.30,kami bergerak ke Ranau menggunakan bas UMS. Setibanya kami di Rumah Putera Harapan,kami disambut oleh En. Sabri selaku pengurus dan warden Rumah Putera Harapan dengan keriuhan penghuni-penghuni Rumah Putera Harapan. Sementara menunggu waktu berbuka puasa,para fasilitator menunaikan solat Asar terlebih dahulu kemudian fasilitator muslimah membantu penyedian makanan berbuka,manakala fasilitator muslimin bersuai mesra dengan para penghuni Rumah Putera Harapan. Sebagai makluman,sewaktu kami menjalankan program ini,terdapat 22 orang kanak-kanak yang berusia dari 6 tahun hingga 13 tahun. Kesemua penghuni di rumah ini adalah kanak-kanak lelaki.
Petang itu,kami berbuka puasa bersama-sama dengan penghuni-penghuni RPH. Sebagaimana rutin yang dilakukan oleh mereka,selepas berbuka puasa,kami solat magrib berjemaah di Masjid Ranau,Solat Isyak dan kemudiannya Solat Terawih bersama. Pada malamnya pula,kami lakukan sesi taaruf ringkas bersama penghuni-penghuni RPH bermula dengan sesi memperkenalkan fasi-fasi. Kemudian kami menguji sejauh mana ingatan dan perhatian anak-anak itu sewaktu fasi memperkenalkan diri dengan menyuruh mereka meneka suara fasi dan menjawab soalan-solan mengenai fasi yang sedang bercakap. Pada masa yang sama,mata anak-anak itu ditutup. Selepas itu,kami membahagikan mereka kepada 4 kumpulan iaitu kumpulan Tahmid,Takbir,Tahlil dan Tasbih. Seterusnya sesi taaruf dalam kumpulan kecil bersama fasi-fasi dijalankan.Sebelum melelapkan mata pada malam pertama kami berprogram di sana,kami menyuruh para penghuni RPH mengambil wudhu lalu membaca doa tidur bersama-sama.
13 Ogos 2011
Hari kedua bermusafir di daerah Ranau,kami mulakan dengan qiamulail dalam kalangan fasi. Sewaktu penghuni-penghuni RPH masih lena,muslimah membuat persiapan untuk juadah bersahur. Satu pengalaman yang jarang di alami saat membangunkan anak-anak itu dari tidur untuk bersahur. Melihat akan wajah anak-anak yang mengantuk dan lemah.
Seperti kelazimannya, kami solat subuh selepas bersahur. Tazkirah Subuh disampaikan oleh pelajar SMK Tansau. Modul pertama kami bermula selepas anak-anak RPH melakukan kendiri. Objektif bagi modul pertama ini ialah untuk mengajar dan mendidik penghuni-penghuni RPH agar sentiasa beradab dan berakhlak baik dalam kehidupan seharian. Teori bagi modul ini disampaikan melalui tayangan video dan penerangan dari PIC (person in charge). Kemudian, ia dipraktikkan melalui lakonan menggunakan situasi-situasi yang diberi oleh fasi. Aktiviti ini dilakukan dalam kumpulan.Mengikut tentatif asal, aktiviti seterusnya ialah ceramah. Walaubagaimanapun,ceramah tidak dapat dilaksanakan kerana RPH menerima kehadiran pelawat daripada pihak Petronas yang datang untuk memberikan sumbangan kepada penghuni-penghuni RPH.
Sementara menunggu azan Zohor berkumandang,kami mengajak penghuni-penghuni RPH menonton movie kanak-kanak. Pada masa yang sama setiap fasi membawa seorang penghuni(6 orang pada satu-satu masa) keluar dari kumpulan rakan-rakannya yang lain untuk diajak berbual bagi menyelami keadaan kehidupan dan perasaaan mereka juga untuk memberi mereka motivasi.Tengah hari itu,para fasi dan penghuni-penghuni RPH menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid Ranau. Kemudian,dengan bantuan para fasi,anak-anak ini dibimbing bacaan Al-Qurannya. Manakala bagi penghuni-penghuni yang masih agak kecil,mereka dibimbing membaca Iqra.’
Selepas pengisian rohani,kami mengisi minda penghuni-penghuni RPH dengan idea-idea melalui modul yang kedua. Dalam modul kedua ini fasilitator “membawa” penghuni-penghuni RPH ke alam “perang dunia ketiga” iaitu alam peperangan. Pada situasi tersebut, bumi diserang, bahkan pada bila-bila masa sahaja bumi akan meletup. Fasilitator menerangkan bahawa ada sebuah pesawat pejuang yang terakhir akan berlepas. Fasilitator juga menerangkan bahawa pada saat itu terdapat 6 orang yang perlu diselamatkan daripada 10 orang. Di sini la kita dapat melihat sejauh mana pemikiran dan kekretifan penghuni RPH dalam menyelesaikan masalah melalui hujah dan sebab yang diutarakan.
Kemudian, dalam aktiviti kedua dalam modul 2 ini,kami menguji sejauh mana tahap ingatan dan perhatian penghuni-penghuni RPH. Dalam 1 barisan lurus, para penghuni RPH perlu menyampaikan 1 petikan yang diberikan oleh fasi daripada seorang rakan kepada rakan yang lain bermula dari orang pertama hingga orang terakhir dengan hanya berbisik . Orang yang terakhir perlu menulis petikan yang didengarinya.
Pada rancangan asal, aktiviti pada petang Sabtu adalah membawa penghuni-penghuni RPH ke bazaar Ramadhan. Walau bagaimanapun,keadaan cuaca tidak mengizinkan kami membawa anak-anak tersebut ke luar. Oleh yang demikian, hanya beberapa orang sahaja yang di bawa ke bazaar. Manakala,penghuni-penghuni RPH yang lain menonton cerita kanak-kanak.Sebagaimana yang kami lakukan pada hari sebelumnya, kami berbuka puasa bersama-sama dengan penghuni-penghuni RPH selepas mereka membersihkan diri. Kemudian,para fasi dan penghuni-penghuni RPH mendirikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Ranau. Bagi mendidik dan memberi tunjuk ajar tentang solat yang betul kepada anak-anak RPH, kami melakukan solat Isyak dan Terawih di RPH sahaja.
Selepas mengajar mereka tentang fardhu ain,kami teruskan modul yang ke 3 pada malam kedua kami berada di RPH. Modul ke 3 ini lebih menekankan tentang amalan berpuasa dengan mengajar penghuni-penghuni RPH mengenai niat puasa,erti puasa , syarat sah dan wajib berpuasa juga tentang perkara-perkara sunat dan makhruh dalam berpuasa serta hal-hal yang berkaitan.Kami akhiri aktiviti-aktiviti pada hari Sabtu dengan menyuruh penghuni-penghuni RPH mengambil wudhu dan membaca doa tidur bersama-sama.
14 Ogos 2011
Dimulai dengan qiamulail,kami memulakan hari terakhir Program Kami Prihatin. Selepas bersahur bersama,kami menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Ranau. Kemudian,kami kembali semula ke RPH untuk mendengar tazkirah subuh. Tazkirah kali ini disampaikan oleh adik Rahimi dari SMK Tansau dengan membawa kisah-kisah teladan pada zaman para sahabat.
Setelah selesai memberikan pengisian rohani, penghuni-penghuni RPH melakukan kendiri. Selepas itu,kami memulakan modul yang ke 4. Melalui modul ini,kita dapat mencungkil bakat, minat dan keyakinan diri para penghuni melalui pertandingan. Selain itu,kemahiran 3M turut diuji dalam modul ini. Antara pertandingan yang diadakan, ialah pertandingan azan dan pertandingan bercerita. Bagi aktiviti 3M pula,para penghuni dikehendaki membina perkataan sebanyak yang mungkin melalui perkataan ‘Puasa Ramadhan’. Turut diadakan,aktiviti yang menguji kepantasan anak-anak ini mengira.
Selesai melakukan modul yang terakhir, kami membuat satu majlis penutupan ringkas bagi memberi penghargaan kepada kepada pihak RPH. Majlis ringkas itu turut dihadiri oleh pengurus RPH. Setelah tamat, kami bergotong royong membersihkan kawasan RPH kemudian solat zohor berjemaah. Sekitar jam 1 petang,kami bergerak meninggalkan RPH selepas bersalam-salaman bersama penghuni-penghuni RPH.
Sesi suai kenal dengan fasi
Persembahan nasyid oleh anak-anak Rumah Putera Harapan
Latihan dalam kumpulan
Riadah pagi
Aktiviti membersihkan kawasan rumah